Wednesday, February 3, 2010

Retrospeksi Konvensyen Pemikiran Hassan Al Bana

Tulisan ini saya petik dari website ISMA Shah Alam untuk tatapan sahabat di India....

Terlepas KBDSC_1172AZ (Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis) pada 2009, saya tidak mahu melepaskan peluang ke Konvensyen Pemikiran Hassan al-Banna (Kobanna) beberapa hari lalu. Terpaksa memarkir kereta sedikit jauh, menandakan betapa ramainya jiwa-jiwa yang sudah bersedia untuk melazati konvensyen ini. Beberapa buah bas turut berbaris menurunkan penumpang. Pegawai-pegawai trafik dari PEMBINA berbaju putih setia memberi panduan menuju ke tempat sepatutnya. Hampir 7/8 atau 2700 orang memenuhi dewan tertutup UNITEN tersebut, membuat saya teruja. Bukan hanya golongan dewasa sahaja yang memenuhi kerusi-kerusi dewan, bahkan para syabab yang paling banyak melimpahi segenap pelusuk dewan, terutama di bahagian atas.

Pemerhatian awal saya mendapati bahawa tajuk Pemikiran Hassan al-Banna dalam Melakar Agenda Bangsa memberi satu interpretasi bahawa ISMA mempunyai satu mesej dan pendirian ketika mana mengacarakan konvensyen ini; bahawasanya ISMA tetap berpegang dengan fikrah Hassan al-Banna dalam memacu perubahan dan pembaikan masyarakat dalam apapun kondisinya sekalipun ada badan-badan lain yang memilih untuk tidak lagi menggunakan pendekatan as-Syahid Imam Hassan al-Banna.

Demi merealisasikan intipati pemikiran Hassan al-Banna, al-Fadhil Ustaz Abdullah Zaik, Presiden ISMA menyelesaikan beberapa isu asas yang mungkin menjadi tanda tanya bagi beberapa pihak yang mencari jawapan mengapa pemikiran Hassan al-Banna yang menjadi pilihan, di dalam ucaptamanya. Meskipun Imam Hassan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin berasal dari Mesir, namun intipati pemikiran, wasilah-wasilah, penemuan marhalah, metodologi dakwahnya tetap relevan dan sehingga hari ini digunapakai di lebih 90 buah negara. Presiden ISMA turut melakarkan kepentingan Melayu sebagai suatu tunjang kekuatan yang mampu memacu perubahan dan pembaikan, dan dalam masa yang sama sebagai penegak kalimah dan deen Allah SWT. Kelemahan bangsa ini akan menyebabkan Islam juga turut sama tenggelam, sedang bangsa Melayu telah lama diperkasakan oleh Islam. Bangkit bersatu di atas agenda ini atau terus berpecah dengan melaksanakan agenda orang lain.

Konvensyen ini seterusnya diteruskan dengan tiga pembentangan kertas kerja oleh orang yang hebat belaka, dan mempunyai kepakaran dalam bidang tersendiri. Secara keseluruhan, mesej yang ingin disampaikan melalui konvensyen ini meliputi beberapa perkara;

  • Melayu ialah suatu bangsa yang kuat, namun perpecahan dalam merencana agenda Melayu kita menjadi lemah, malah menjadikan Melayu yang merupakan bangsa terbesar di negara ini yang lemah dalam dominasinya, malah kita tidak menjadi suara muktamad atau terbesar dalam perencanaan agenda bangsa. Kita perlu memilih untuk bersatu dan melupakan pertikaian-pertikaian yang hanya merugikan bangsa sendiri dan menjalankan rencana untuk agenda bangsa kita. Itu, atau pilih untuk terus berpecah dan terus-menerus menjalankan agenda bangsa lain.
  • Pemikiran Hassan al-Banna ialah pemikiran yang paling relevan di abad ke-21, dalam tempoh 20 tahun lebih dakwahnya telah berkembang begitu pesat, sehingga ke hari ini lebih daripada 90 buah negara mempraktikkan pemikiran beliau dalam gerakan dakwah. Manhaj yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin ialah yang paling hampir dengan manhaj Rasulullah SAW. Sebagaimanapun zaman berubah, ISMA tetap komited dengan manhaj ini dalam meladeni situasi ummah di Malaysia.
  • ISMA mengajak masyarakat Melayu Muslim untuk menilai dan mengambil pendirian tentang situasi politik Malaysia berdasarkan maqasid syara` (al-Quran dan as-Sunnah serta lainnya), seterusnya tidak mengabaikan kepentingan Islam dan Melayu meskipun kita hidup dalam suasana kepelbagaian bangsa dan agama. Bahkan ISMA menggesa masyarakat Melayu untuk bersatu untuk menggerakkan agenda bangsa yang telah diperkecilkan kerana Melayu berpecah-belah.
  • Islam dan Ikhwanul Muslimin tidak menolak semangat kebangsaan, begitu juga ISMA. Kerana agama ini akan kuat melalui bangsa yang memegang panji agama lantas mengukuhkannya. ISMA komited untuk mengukuhkan bangsa Melayu dengan mengembalikan rujulah bangsa ini serta keakraban dengan Islam.

DSC_1226
Jujurnya, sangat banyak informasi yang telah saya dapati daripada konvensyen ini. Saya juga pasti bahawa ramai daripada hadirin yang menghadiri konvensyen tersebut mendapatkan hal yang sama. Di akhir konvensyen resolusi ISMA dalam konvensyen ini turut diutarakan, menyatakan komitmen ISMA untuk memperjuangkan agenda bangsa Melayu dan menggunakan maqasid syara` sebagai timbang tara dalam menilai kemelut dan situasi politik di Malaysia.

Apa yang kita mahukan tidak lain tidak melainkan ummat Melayu ini bangkit semula sebagai satu ummah yang gagah dan hebat kerana deennya. Kita sudah jelak dengan perpecahan dan mahu melihat bangsa ini kembali bersatu atas Islam, juga kita tidak mahu diperkotak-katikkan oleh bangsa lain yang mengambil peluang di atas perpecahan yang berlaku kepada ummat Melayu. Dalam apa juga hal sekalipun, kita tetap memilih untuk membuat keputusan dan penilaian berdasarkan maqasid syara`, tidak menggadaikan prinsip-prinsip dan hukum Islam dalam isu-isu yang berkaitan dengan Islam, Melayu dan politik.

azmir
Mohd Azmir bin Mohd Razli
Macquarie Universiti of Sydney
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa
http://thetalkingpen.blogspot.com


No comments: