Thursday, October 28, 2010

Zaman Belajar Itu Zaman Keemasan


Banyak perubahan di dunia dipelopori golongan muda antaranya
adalah Revolusi Perancis. Contoh di dalam dunia Islam adalah Hassan Al bana dan Muhammad Al Fateh



Sejarah telah membuktikan bahawa perubahan-perubahan besar yang berlaku di dunia ini dimulakan oleh golongan muda sekitar 20-an. Ramai islamis suka mengambil contoh dari sejarah Islam. Antara yang terkenal adalah Sultan Mahmud Al-Fateh yang membuka konstantinapole pada umur 21. Hassan Al-Banna juga memulakan gerakan ikhwan pada umur 20-an. Tetapi kita jangan lupa sunnah kebangkitan yang telah ditetapkan Allah teraplikasi juga kepada non-muslim selagi mereka ini Manusia. French Revolution contohnya menyaksikan kebangkitan yang dimulakan oleh golongan muda 20-an.

Benarkah Kita Pejuang?

Benarkah kita ini pejuang? Atau sekadar berangan menjadi pejuang?

Saya rasa ramai rakan-rakan yang islamik tahu akan hakikat bahawa dunia islam hari ini akan terus kerugian andai golongan muda terus tidur dalam buaian hedonisme. Cepat saja untuk kita yang islamik ini menunding jari menyalahkan kemunduran ummat kepada mereka yang tidak islamik. Tetapi kita lupa sebenarnya bahawa kita yang islamik ini juga mungkin tergolong dalam golongan yang merugikan masyarakat. Kenapa?

Sebab berjuangnya kita hanyalah meletakkan link-link berkaitan agama di Facebook. Berjuangnya kita hanya dengan mendendangkan lagu-lagu islamik. Berjuangnya kita hanya dengan memakai wallpaper islamik.

Hadirnya AUKU telah menyebabkan pelajar hari ini lupa akan tugas mereka sebagai pelajar selain belajar dan lulus exam; iaitu tugas untuk beraktivisme. Maka lahirlah golongan pelajar Islamik yang hanya melaungkan perjuangan tanpa mahu berjuang.


Inilah Zaman Keemasan Kita


Zaman keemasan kita adalah zaman belajar


Zaman belajar ini adalah zaman keemasan untuk melatih kita untuk berjuang. Kenapa demikian? Tak bolehkah kita berjuang selepas belajar sahaja? Habiskan satu persatu, kata orang tua.

Inilah jawapannya kenapa zaman belajar ini adalah zaman keemasan untuk pelajar:

1. Pelajar dipertanggungjawabkan dengan tiga tanggungjawab iaitu
a) belajar
b) lulus exam dan
c) beraktivisme

2. Ramai yang lupa akan tanggungjawab ketiga iaitu beraktivisme. Pihak kerajaan telahpun mengecilkan skop aktivisme ini kepada aktviti kokurikulum wajib sekolah. Ini menyebabkan pelajar yang ke universiti lupa akan tanggungjawab mereka sebagai agen perubahan masyarakat.

3. Bagi yang menyangka dia akan beraktivisme hanya selepas belajar, mereka lupa bahawa selepas belajar mereka akan dibebani dengan pelbagai lagi tanggungjawab seperti:
-Belajar (bagi yang sambung post-graduate)
- tanggungjawab sebagai suami dan isteri
- anak-anak
- mertua
- kerja

4. Andai kita pelajar tidak mula melatih diri untuk beraktivisme sewaktu belajar, kita tidak akan mampu untuk beraktivisme selepas belajar kerana aktivisme perlu kepada pengorbanan. Bersediakah kita untuk mengkompromi anak-anak, isteri, suami, wang gaji untuk dakwah andai masa belajar pun sukar untuk kita susun untuk dakwah?

Tunaikan tanggungjawab, kita pasti akan selamat



"Akhi, yang mana lagi penting, dakwah atau study?"

"Akhi, ana peninglah, study itu penting, tapi dakwah bukan prioriti kedua."

Inilah yang biasa keluar dari minda kita apabila diajak untuk beraktivisme di jalan dakwah. Kekeliruan ini bertambah-tambah menyulitkan bagi pelajar perubatan di India yang cutinya amat sedikit, dan jadual pelajaran yang amat ketat. Program-program tarbiyyah dari sekecil-kecil usrah sehingga sebesar Winter Camp terpaksa disumbat pada hujung minggu sahaja, di tengah-tengah hambatan assignment, test, viva dan sebagainya. Amat mudah sekali untuk para dai'e samada jatuh futur atau jatuh gagal dalam pelajaran.

Amat sukar untuk 'balance' antara aktivisme, belajar dan lulus exam terutamanya di India yang mana perjalanan akademiknya tidak sama seperti Mesir, Australia, NZ dan Europe. Di sini tiada cuti tiga bulan, malah lebih teruk lagi cuti tidak selaras antara satu batch dan satu batch yang lain.

Inilah realitinya... tetapi bagaimanakah kita mampu mengimbangi keperluan dakwah dan keperluan pelajaran? Ayuh kita lihat semua ini sebagai satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Belajar, lulus exam dan dakwah itu tanggungjawab. Apabila kita berusaha untuk memenuhi tuntutan kesemua tanggungjawab ini, kita tidak akan ada masa lagi untuk bermain-main dengan video games, berpacaran, menonton Korea dan sebagainya.

Belajar untuk memenuhi tanggungjawab-tanggungjawab asas ini insyaAllah kita akan lebih lasak untuk memenuhi tanggungjawab sebagai seorang dewasa kelak tanpa meninggalkan tanggungjawab dakwah kepada masyarakat.

Akhir Kalam, kita penuhi hati kita dengan secebis ayat Al-Qur'an:

"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihadyang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur'an) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong."



Wednesday, October 27, 2010

Pendirian, bukan Ketaksuban



Apa bezanya antara Pendirian dan Ketaksuban?

Bagaimanakah kita mahu membezakan samada kita memilih sesuatu jemaah berdasarkan kepada pendirian atau ketaksuban? Semestinya 'Taksub' itu membawa satu konotasi negatif. Tetapi apakah kriteria yang dapat membebaskan kita dari label 'Taksub'?

Pendirian itu dibuat berdasarkan kepada prinsip. Dan prinsip hanya lahir dari akal yang berfikir. Akal yang mampu menilai baik dan buruk, yang mampu melihat yang haq dan batil. Lebih baik dan pasti selamat andai akal itu dipandu wahyu.

Bagaimana pula dengan taksub? Ketaksuban lahir dari emosi dan sentimen. Emosi dan sentimen meluap-luap keluar menyebabkan seseorang itu menyokong membuta tuli tanpa melihat dengan akal baik dan buruk tindakannya.

Kita ambil contoh non-politik... yang mudah difahami oleh kita remaja 20-an... iaitu contoh kahwin.

Ramai yang ingin berkahwin... dan bagi mereka yang berhajat untuk berkahwin semasa belajar biasanya disoal oleh ibu-bapa akan rasional tindakan mereka itu.

Ketika ini, si teruna atau si gadis ini perlu menilai semula, adakah dia ingin berkahwin kerana tuntutan agama, tuntutan nabi, tuntutan dakwah etc? Atau hasratnya ingin berkahwin awal hanya kerana cintanya kepada kekasih yang disayangi? Tak tahan sangat nak kahwin orang kata.


Politik Malaysia banyak dicorak oleh nilai-nilai sentimen, bukannya prinsip


Mungkin kita boleh ambil sedikit contoh politikal...

Apabila kita menyokong sesebuah pertubuhan lalu berjuang bermati-matian di bawah panjinya, adakah sokongan kita itu berdasarkan prinsip dan pendirian atau ketaksuban?

Sudah semestinya sokongan dan perjuangan yang berdasarkan kepada pendirian itu lebih baik.

Jadi bagaimanakah caranya untuk kita jadi orang yang berprinsip?

Tidak ada cara lain... kita mesti berfikir, berfikir dan berfikir, dan tambah ilmu dengan membaca serta berguru. Melalui ilmu kita akan tahu yang haq dan yang batil dan dari situ kita akan dapat membina prinsip di dalam diri kita.

Bagaimana pula mereka yang menolak sebarang penglibatan di dalam Jemaah di atas alasan tidak mahu dilihat taksub? Bagi saya, tepuklah dada, tanyalah prinsip...

God Knows Best