Sunday, September 13, 2009

Melayu perlu hidupkan budaya ilmu – Aminuddin Yahaya



Melayu perlu hidupkan budaya ilmu – Aminuddin Yahaya


"Kekuatan sesuatu bangsa itu adalah apabila mereka memiliki ilmu pengetahuan," demikian ujar Setiausaha Agung ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya ketika menjadi salah seorang ahli panel dalam Forum Kemerdekaan anjuran ISMA Cawangan Shah Alam & Klang pada 5 September yang lepas.

Dalam usaha untuk memartabatkan kekuatan bangsa Melayu Muslim yang merupakan bangsa majoriti di Malaysia, beliau mengajak semua orang Melayu untuk keluar dari perangkap emosi yang merbahaya.

“Kalau kita lihat teori motivasi, orang yang penuh dengan emosi ini akan mudah untuk ditawan”.

“Oleh itu, kita perlu pastikan bahawa kita sentiasa berdiri teguh atas dasar rasional dan penuh dengan ilmu. Inilah yang akan menjadi perisai dari sebarang bentuk penjajahan.”

Beliau yang terkenal di dalam ISMA sebagai seorang yang menyeru ke arah pemikiran yang kritis dan kreatif, melahirkan rasa kesal dengan sikap sebahagian golongan muda Melayu yang makin kurang berusaha ke arah membentuk pemikiran yang luas.

“Apabila tiba sahaja waktu cuti, majoriti pelajar akan balik ke kampung semata-mata untuk berehat atau menghabiskan masa di pusat-pusat membeli belah, mencari “handphone” dan “laptop” model terbaru. Tetapi cuba kita lihat di Eropah, apabila tiba waktu cuti, majoriti belia akan pergi mengembara untuk melihat perkembangan di tempat-tempat lain, inilah yang membentuk pemikiran mereka.”

Fenomena ini menunjukkan betapa kecilnya ruang pemikiran golongan belia Melayu, yang hanya memikirkan kepentingan diri mereka sahaja. Andai budaya ini tidak diubah, bangsa Melayu akan kekal sebagai bangsa yang “menerima” bukan bangsa yang “memberi”.

Idea-idea Tuan Haji Aminuddin Yahaya boleh dibaca melalui tulisan beliau di blog suaradarigunung.wordpress.com.









Norzafry b Norhalim
Wartawan/Jurufoto
Media ISMA

Saturday, September 12, 2009

Elak politik “enjit-enjit semut” - Ustaz Abdullah Zaik





Dalam memberi komentar tentang senario politik tanahair terkini, Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman mengatakan bahawa yang terjadi ketika ini ialah parti-parti yang bertanding menggunakan peluang mendapatkan kuasa agar boleh menekan orang di bawah pemerintahan mereka.

”Maka terjadilah politik ala permainan Melayu ”enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas”, parti yang dahulunya di bawah, setelah menjadi pemerintah mereka pula menggunakan peluang untuk menekan parti-parti lain, dan ini akan jadi satu pusingan yang tidak akan berhenti,” jelas beliau dalam sebuah forum bertajuk ”Memartabatkan Kesetiaan Bangsa” anjuran ISMA Cawangan Shah Alam & Klang.

Turut menjadi ahli panel dalam forum tersebut ialah Ir. Ahmad Jais Alias, Pengarah Radio IKIM.fm dan Encik Aminuddin Yahaya, Setiausaha Agung ISMA.

Ustaz Abdullah juga bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Puad Zarkashi yang mengatakan bahawa perlunya wujud ”Politik hati nurani” yang mana politik digunakan semata-mata sebagai alat untuk menebarkan kebaikan untuk masyarakat.

Oleh itu, Ustaz Abdullah menyatakan bahawa ISMA akan terus dengan misi memberi pendidikan politik kepada masyarakat, agar masyarakat dipecahkan dari duduk dalam blok-blok politik yang akhirnya tidak membawa kepada perpaduan. Ujar beliau lagi, senario ”enjit-enjit semut” ini bukan sahaja berlaku antara parti pemerintah dengan pembangkang, malah ianya juga turut berlaku dalam sesebuah parti itu sendiri. Apabila seorang calon memenangi pilihanraya parti, maka hanya orang dalam bloknya sahaja yang akan dinaikkan, dan yang di dalam blok lain akan diketepikan.

Forum tersebut memfokuskan kepada permasalahan umat Islam di Malaysia pada ketika ini, yang mana ISMA memberi pandangan bahawa bangsa Melayu terlebih dahulu perlu disatukan tanpa mengira parti agar umat Islam dapat dibela. Ustaz Abdullah juga melahirkan kerisauan tentang golongan Melayu kini yang sudah ”hilang identiti” berbanding dengan generasi Melayu awal dahulu.

”Dahulu kita ada pejuang bangsa yang sejati, dan pejuang Islam yang sejati. Tetapi kini semua itu tidak wujud lagi. Perjuangan nasionalis mahupun islamis telah diancam dengan arus liberalisasi, demokrasi dan globalisasi. Arus-arus ini telah menyebabkan parti-parti politik berkompromi tentang hak-hak bangsa semata-mata ingin mencapai kemenangan dalam pilihanraya,” tegas beliau.

Memberi contoh gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir, Ustaz Abdullah mengatakan bahawa ahli gerakan tersebut dipenjarakan setiap hari, diseksa dan dibunuh, namun tetap kekal dalam tema perjuangan ”Islam Adalah Penyelesaian” tanpa terdorong untuk menuruti arus demokrasi yang lebih. Oleh itu, beliau berkata ISMA akan komited dalam mendidik masyarakat Muslim khususnya Melayu untuk kembali kepada ajaran Islam terlebih dahulu kerana inilah yang akan menjamin kejayaan yang hakiki.

Dalam soalan yang lain, Ustaz Abdullah juga berkata bahawa keghairahan sesebuah organisasi itu untuk meraih kesatuan ”segera” juga boleh menyebabkan perpecahan berlaku.

”Kesatuan tidak boleh dipaksa. Perbezaan ideologi atau pendapat adalah lumrah, sedangkan saudara kandung pun tidak sama, apatah lagi organisasi-organisasi yang besar?”

”Jalan terbaik ialah menghormati setiap pandangan mana-mana pertubuhan, dan mencari ruang untuk melakukan kerjasama. Memaksa kesatuan dengan cara meletakkan semua pertubuhan di bawah satu badan hanya akan menyebabkan perselisihan yang lebih besar.”

Forum tersebut berakhir pada lebih kurang jam 1 petang.


Norzafry b Norhalim
Wartawan/Jurufoto
Media ISMA