Sunday, September 13, 2009

Melayu perlu hidupkan budaya ilmu – Aminuddin Yahaya



Melayu perlu hidupkan budaya ilmu – Aminuddin Yahaya


"Kekuatan sesuatu bangsa itu adalah apabila mereka memiliki ilmu pengetahuan," demikian ujar Setiausaha Agung ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya ketika menjadi salah seorang ahli panel dalam Forum Kemerdekaan anjuran ISMA Cawangan Shah Alam & Klang pada 5 September yang lepas.

Dalam usaha untuk memartabatkan kekuatan bangsa Melayu Muslim yang merupakan bangsa majoriti di Malaysia, beliau mengajak semua orang Melayu untuk keluar dari perangkap emosi yang merbahaya.

“Kalau kita lihat teori motivasi, orang yang penuh dengan emosi ini akan mudah untuk ditawan”.

“Oleh itu, kita perlu pastikan bahawa kita sentiasa berdiri teguh atas dasar rasional dan penuh dengan ilmu. Inilah yang akan menjadi perisai dari sebarang bentuk penjajahan.”

Beliau yang terkenal di dalam ISMA sebagai seorang yang menyeru ke arah pemikiran yang kritis dan kreatif, melahirkan rasa kesal dengan sikap sebahagian golongan muda Melayu yang makin kurang berusaha ke arah membentuk pemikiran yang luas.

“Apabila tiba sahaja waktu cuti, majoriti pelajar akan balik ke kampung semata-mata untuk berehat atau menghabiskan masa di pusat-pusat membeli belah, mencari “handphone” dan “laptop” model terbaru. Tetapi cuba kita lihat di Eropah, apabila tiba waktu cuti, majoriti belia akan pergi mengembara untuk melihat perkembangan di tempat-tempat lain, inilah yang membentuk pemikiran mereka.”

Fenomena ini menunjukkan betapa kecilnya ruang pemikiran golongan belia Melayu, yang hanya memikirkan kepentingan diri mereka sahaja. Andai budaya ini tidak diubah, bangsa Melayu akan kekal sebagai bangsa yang “menerima” bukan bangsa yang “memberi”.

Idea-idea Tuan Haji Aminuddin Yahaya boleh dibaca melalui tulisan beliau di blog suaradarigunung.wordpress.com.









Norzafry b Norhalim
Wartawan/Jurufoto
Media ISMA

No comments: