Thursday, November 26, 2009

Prolog Kupasan Buku "Pedoman Pendakwah Sepanjang Zaman" dari Syed Qutb


InsyaAllah saya akan memulakan satu siri artikel yang membedah buku Syed Qutb yang bertajuk Pedoman Pendakwah Sepanjang Zaman atau dalam bahasa Arabnya Ma'alim fi al-Thariq.

Suka untuk saya mengongsikan apa yang ditulis Syed Qutb tentang dakwah. Metodologi Dakwah telah menjadi satu bidang kajian yang paling saya minati sejak mula menceburkan diri secara serius di dalam bidang ini.

Menjalankan kerja dakwah sama seperti menjalankan sebuah perniagaan. Di dalamnya terdapat banyak jalan dan cara untuk mencapai satu target iaitu keuntungan. Dan kita lihat, di dalam alam perniagaan, ada yang gagal dan ada yang berjaya. Ada yang hanya mampu mengayakan diri, tanpa mengayakan anak-anak. Ada juga yang mampu mengayakan diri, dan hasil kekayaan itu dapat dirasai oleh tiga generasi berikutnya. Tidak kurang juga yang mampu mengayakan diri, keluarga dan masyarakat sekitarnya. Di samping ada yang kaya dengan segera. Ada juga yang kaya dengan lambat. Ada yang kaya sebentar dan ada juga yang mampu mengekalkan kekayaan pada tempoh masa yang lama.

Apa yang pasti, dalam alam perniagaan, kita mahukan kekayaan yang terbaik, iaitu kekayaan yang mampu memberikan kita sebuah kebebasan kewangan tanpa henti atau "financial freedom" dan dengan financial freedom itu kita dapat memberi manfaat pada orang lain sekaligus menjadikan kita seorang kaya yang mulia.

Sama seperti Dakwah. Tujuan utama dakwah tak lain dan tak bukan adalah untuk mencapai keredhaan Allah SWT dan agar kita dapat menjawab di akhirat kelak. Cumanya, sejak mula serius di dalam arena dakwah, saya melihat variasi dalam mencapai target ini. Namun, bagi yang baru mengorak langkah, kalian pasti melihat semua jemaah ini sebagai sama, tiada beza di antara satu jemaah dengan jemaah-jemaah yang lain. Kalian juga pasti merasa pelik kenapa jemaah yang pelbagai ini tidak bersatu di bawah satu payung, kerana logiknya Islam itu menganjurkan kesatuan ummat. Ini mungkin berlaku kerana kalian hanya melihat pada matlamat akhir dakwah yang dijalankan oleh setiap jemaah ini, tidak pada metodnya.

Variasai metodologi dakwah wujud dalam pelbagai bentuk. Ada yang menjalankannya secara bersendirian, ada yang menjalankannya secara berkumpulan di dalam sebuah harakah. Harakah pula banyak jenis. Ada harakah menjalankan dakwah dengan politik, ada yang tidak berpolitik sebaliknya membina masyarakat dari bawah. Kepelbagaian juga wujud di dalam menafsir marhalah (peringkat) dakwah ini. Ada yang memandang bahawa negara islam dapat diwujudkan dalam masa 11 tahun lagi dan ada juga yang memandang bahawa daulah akan muncul pada generasi yang berikutnya. Tidak kurang juga yang berbeza pendapat dalam menafsir bentuk jihad. Ada yang berjihad di atas jalan kemanusiaan, ada yang berjihad di dalam arena politik kepartian, dan ada yang berjihad membentuk individu-individu. Ada juga yang memandang jihad dalam Islam sebagai jihad defensif iaitu dengan memastikan orang Islam terselamat dari hambatan jahiliah barat dan timur, dan ada juga yang melihat jihad sebagai suatu yang progresif.

Kepelbagaian ini membawa saya kepada satu konklusi; bahawa di dalam hiruk pikuk variasi ini saya yakin terdapat satu kumpulan manusia yang membawa metodologi dakwah yang paling hampir dengan metodologi kenabian. Ini menjadikan saya sebagai seorang musafir yang 'mencari'. Di dalam pencarian itu, saya singgah di pelbagai tempat, saya baca pelbagai buku, dan saya dengar pelbagai pendapat.

Syed Qutb boleh saya anggap sebagai seorang yang berpengalaman di dalam dakwah. Buku Ma'alim fi al-Thariq yang akan saya bedah ini menceritakan pengalaman beliau dan rakan-rakan di dalam dakwah dan tentang apa yang mereka fahami dengan dakwah ini. Dengan kupasan ini InsyaAllah kita dapat memahami perbezaan jemaah-jemaah ini, dan akhirnya mencari satu platform yang terbaik untuk kita berjuang di atasnya.

Terlebih dahulu saya ingin 'disclaim' awal-awal dengan mengatakan bahawa Syed Qutb juga seorang manusia dan sebagai manusia dia pasti membuat silap. Apa yang lebih penting, tafsiran saya sendiri terhadap tulisan ini mungkin salah.

Saya panjatkan doa kepada Allah agar saya dapat istiqamah di dalam menulis kupasan ini. Wallahualam.







2 comments:

Azizul Salehudin said...

salam sheikh.dpt kt mane buku version english ni?dh lame ana carik tak jumpe.huhu..

semoge dikurniakan thabat atas jalan ini..

p/s:rindu kt antum semue..

an.naasss said...

version english? gambar tu ana amik kat internet akhi.. ana baca yg malay punya jer.. tapi kalau jumpa english confirm lagi besh.. malay punya cam payah nak faham sket...