Saturday, November 28, 2009

Mahu kembalikannya? Perlu kita fikirkan syarat asasnya





Khilafah itu satu keperluan. Ia adalah payung untuk keamanan sejagat kemanusiaan di bumi Allah ini. Rasanya tidak perlu untuk saya menghuraikan dengan lebih panjang kenapa khilafah itu dapat memayungi manusia sejagat dengan keamanan. Kerana perbahasannya akan membawa kita dari satu mimpi ke dalam mimpi yang lain. Mimpi yang membisik ke dalam hati:

"Oh alangkah bagusnya jika khilafah itu ada sekarang. Pasti kan terubat pelbagai konflik kemanusiaan hari ini..."

"Betapa indahnya andai kita dapat melihat khilafah itu... alangkah baiknya jika kita dapat hidup di zaman khilafah..."

Perbahasan-perbahasan perlunya khilafah yang dibuat dengan mengkaji sejarah memang dapat membangkitkan semangat kita untuk sedar dengan kondisi umat Islam sekarang. Namun setelah mendengar harapan-harapan indah ini, kita sering terlekat dengan satu kenyataan :Bagaimana caranya untuk mengembalikan khilafah itu???

Syed Qutb di dalam buku Milestone saya lihat tidak banyak berbicara tentang keperluan khilafah itu. Ia tidak banyak membincangkan sejarah-sejarah kegemilangan lama itu. Seoalah-olah dia cuba memberitahu kita: Tinggalkan sejarah lama itu, tinggalkan monumen-monumen itu, sudah cukup lama kamu menatapinya. Sekarang ayuh, ambil segala pengajaran yang ditinggalkan generasi lama, dan teruskan perjalanan kita. Khilafah itu telah runtuh dan tugas kita untuk membinanya kembali bermula dari batu asas.

Sebaliknya buku Milestone ini lebih banyak berbicara tentang kaedah-kaedah untuk kita membina bangunan kekhilafahan ini. Perbincangan lebih berkisar di dalam metodologi-metodologinya, cabaran-cabaran, bekalan-bekalan yang diperlukan.

Syed Qutb membahaskan di dalam pendahuluan buku ini bahawa untuk Islam kembali menyinarkan cahayanya di dunia ini ummatnya mesti memenuhi beberapa syarat:

1) Ummat Islam di dalam kata erti sebenar perlu diwujudkan terlebih dahulu. Ummat ini tidak hanya membicarakan akidah di mulut tetapi menghidupkan akidah itu di dalam hidupnya. Ummat ini bukan sahaja berada di tanah di mana Islam tumbuh. Bukannya rakyat sebuah negara yang majoriti beragama Islam. Yang dikatakan Ummat Islam itu adalah sekumpulan manusia yang kehidupannya, konsepnya, sistemnya, nilainya dan seluruh pertimbangannya bersumber dari metodologi Islam. Ummat yang mempunyai sifat seperti ini telah lama hilang. Jadi tugas pendakwah masa kini adalah untuk membangkitkan ummat seperti ini.

2) Perlu ada suatu masyarakat manusia Islam yang tunduk pada Akidah dan cara hidup Islam yang sebenar. Seluruh masyarakat dunia sekarang tunduk kepada sistem Jahiliah yang mengambil manusia sebagai penguasa tertinggi, yang berhak membuat konseps dan nilai tersendiri, peraturan, undang-undang serta sistem sendiri. Melalui fahaman sekularisme, perkara-perkara ini terpisah dari metodologi dan keyakinan ke-Tuhanan untuk kehidupan. Manusia juga di dalam sistem bukan Islam masing-masing telah saling menyembah, dengan berbagai cara. Maka untuk Islam kembali berhak memimpin manusia, perlu ada suatu masyarakat yang hanya menyembah Allah s.w.t. dalam erti yang sebenar, menerima perintah Allah s.w.t. sahaja dan tunduk serta patuh kepada Allah sahaja.



3) Mesti ada kumpulan pelopor yang berazam besar, berkemahuan tinggi, dan berhati ikhlas untuk membangkitkan masyarakat Islam yang sebenar di tengah-tengah cengkaman jahiliah. Untuk para pelopor ini menjalankan tugasnya mereka mestilah mempunyai petunjuk jalan atau milestones. Petunjuk-petunjuk ini akan memberitahu kepadanya tentang:

-Bentuk peranannya
-Hakikat tugasnya
-Inti tujuan dan objektif perjuangannya
-Titik permulaan perjuangannya yang panjang
- Ciri-ciri khas yang harus dimilikinya
-Ciri-ciri khas jahiliah di sekelilingnya
-Cara-cara untuk melayan jahiliah di sekeliling dengan menggunakan kaedah dan konsep Islam
-Cara-cara untuk mengambil panduan itu



Buku Milestone ini ditulis oleh Syed Qutb untuk kita para pelopor gerak kerja ini. Agar kita dapat memahami hakikat dakwah ini, arah tujuannya, titik permulaan dakwah ini. Agar kita mengenali sifat-sifat jahiliah di sekeliling kita, agar kita dapat mencari ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh seorang daie ilallah....



Thursday, November 26, 2009

Prolog Kupasan Buku "Pedoman Pendakwah Sepanjang Zaman" dari Syed Qutb


InsyaAllah saya akan memulakan satu siri artikel yang membedah buku Syed Qutb yang bertajuk Pedoman Pendakwah Sepanjang Zaman atau dalam bahasa Arabnya Ma'alim fi al-Thariq.

Suka untuk saya mengongsikan apa yang ditulis Syed Qutb tentang dakwah. Metodologi Dakwah telah menjadi satu bidang kajian yang paling saya minati sejak mula menceburkan diri secara serius di dalam bidang ini.

Menjalankan kerja dakwah sama seperti menjalankan sebuah perniagaan. Di dalamnya terdapat banyak jalan dan cara untuk mencapai satu target iaitu keuntungan. Dan kita lihat, di dalam alam perniagaan, ada yang gagal dan ada yang berjaya. Ada yang hanya mampu mengayakan diri, tanpa mengayakan anak-anak. Ada juga yang mampu mengayakan diri, dan hasil kekayaan itu dapat dirasai oleh tiga generasi berikutnya. Tidak kurang juga yang mampu mengayakan diri, keluarga dan masyarakat sekitarnya. Di samping ada yang kaya dengan segera. Ada juga yang kaya dengan lambat. Ada yang kaya sebentar dan ada juga yang mampu mengekalkan kekayaan pada tempoh masa yang lama.

Apa yang pasti, dalam alam perniagaan, kita mahukan kekayaan yang terbaik, iaitu kekayaan yang mampu memberikan kita sebuah kebebasan kewangan tanpa henti atau "financial freedom" dan dengan financial freedom itu kita dapat memberi manfaat pada orang lain sekaligus menjadikan kita seorang kaya yang mulia.

Sama seperti Dakwah. Tujuan utama dakwah tak lain dan tak bukan adalah untuk mencapai keredhaan Allah SWT dan agar kita dapat menjawab di akhirat kelak. Cumanya, sejak mula serius di dalam arena dakwah, saya melihat variasi dalam mencapai target ini. Namun, bagi yang baru mengorak langkah, kalian pasti melihat semua jemaah ini sebagai sama, tiada beza di antara satu jemaah dengan jemaah-jemaah yang lain. Kalian juga pasti merasa pelik kenapa jemaah yang pelbagai ini tidak bersatu di bawah satu payung, kerana logiknya Islam itu menganjurkan kesatuan ummat. Ini mungkin berlaku kerana kalian hanya melihat pada matlamat akhir dakwah yang dijalankan oleh setiap jemaah ini, tidak pada metodnya.

Variasai metodologi dakwah wujud dalam pelbagai bentuk. Ada yang menjalankannya secara bersendirian, ada yang menjalankannya secara berkumpulan di dalam sebuah harakah. Harakah pula banyak jenis. Ada harakah menjalankan dakwah dengan politik, ada yang tidak berpolitik sebaliknya membina masyarakat dari bawah. Kepelbagaian juga wujud di dalam menafsir marhalah (peringkat) dakwah ini. Ada yang memandang bahawa negara islam dapat diwujudkan dalam masa 11 tahun lagi dan ada juga yang memandang bahawa daulah akan muncul pada generasi yang berikutnya. Tidak kurang juga yang berbeza pendapat dalam menafsir bentuk jihad. Ada yang berjihad di atas jalan kemanusiaan, ada yang berjihad di dalam arena politik kepartian, dan ada yang berjihad membentuk individu-individu. Ada juga yang memandang jihad dalam Islam sebagai jihad defensif iaitu dengan memastikan orang Islam terselamat dari hambatan jahiliah barat dan timur, dan ada juga yang melihat jihad sebagai suatu yang progresif.

Kepelbagaian ini membawa saya kepada satu konklusi; bahawa di dalam hiruk pikuk variasi ini saya yakin terdapat satu kumpulan manusia yang membawa metodologi dakwah yang paling hampir dengan metodologi kenabian. Ini menjadikan saya sebagai seorang musafir yang 'mencari'. Di dalam pencarian itu, saya singgah di pelbagai tempat, saya baca pelbagai buku, dan saya dengar pelbagai pendapat.

Syed Qutb boleh saya anggap sebagai seorang yang berpengalaman di dalam dakwah. Buku Ma'alim fi al-Thariq yang akan saya bedah ini menceritakan pengalaman beliau dan rakan-rakan di dalam dakwah dan tentang apa yang mereka fahami dengan dakwah ini. Dengan kupasan ini InsyaAllah kita dapat memahami perbezaan jemaah-jemaah ini, dan akhirnya mencari satu platform yang terbaik untuk kita berjuang di atasnya.

Terlebih dahulu saya ingin 'disclaim' awal-awal dengan mengatakan bahawa Syed Qutb juga seorang manusia dan sebagai manusia dia pasti membuat silap. Apa yang lebih penting, tafsiran saya sendiri terhadap tulisan ini mungkin salah.

Saya panjatkan doa kepada Allah agar saya dapat istiqamah di dalam menulis kupasan ini. Wallahualam.







Tuesday, November 17, 2009

Bakal doktor dari India diseru tingkatkan komitmen dalam kerjaya


Bangalore, 7 Nov. - Suasana pengamal-pengamal perubatan masakini di tanahair cukup merisaukan. Ini dilihat dari kualiti kerja yang semakin menurun di kalangan pengamal-pengamal perubatan terutamanya mereka yang baru tamat pengajian. Senario ini mungkin berlaku disebabkan pengamal-pengamal perubatan masakini lebih mementingkan soal gaji daripada kerjaya dalam bidang perubatan itu sendiri.

Sehubungan dengan itu, Prof. Madya Dr Zainur Rashid bin Zainuddin, Timbalan Pengerusi Sekretariat Luar Negara ISMA menyeru pelajar perubatan di sini untuk lebih komited dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengamal perubatan. Ini boleh dilakukan dengan sentiasa mengingati hakikat bahawa tugas seorang doktor bukan sekadar merawat pesakit, tetapi juga untuk memastikan pesakit berada dalam keadaan yang tenang emosinya.

Photobucket Photobucket

Beliau menjelaskan bahawa nisbah jumlah doktor dengan pesakit di tanahair adalah tidak setanding, maka seandainya seorang doktor hanya bekerja 8 jam sahaja, sudah semestinya masa yang diluangkan bersama pesakit akan dikurangkan, walhal pesakit memerlukan doktor untuk mendapatkan dorongan dan semangat untuk mengharungi penyakit yang dihidapi.

Beliau berkata demikian di hadapan sekitar 100 orang pelajar perubatan dari International Medical College, Management Science University di sini. Forum “Medicine Coffee Talk” ini juga telah disertai oleh Dr. Naziah bt Haron dari i-Medik, yang juga merupakan isteri kepada Prof. Madya Dr Zainur Rashid. Program ini adalah anjuran bersama Sekretariat Perhubungan Luar Negara ISMA dan Islamic Youth Association (IYA) Bangalore, dan telah dipengerusikan oleh saudara Anas Aminin, Timbalan Pengerusi IYA Bangalore.

Photobucket Photobucket

Pelbagai pengalaman dikongsikan semasa forum tersebut, antaranya ialah tentang halatuju kerjaya sebagai graduan perubatan dari India, dan juga pengalaman mengharungi “housemanship” di Malaysia yang dikongsikan oleh Dr Naziah.

Dr Zainur Rashid juga turut menekankan bahawa disiplin adalah aspek penting dalam kerjaya sebagai doktor. Tanpa disiplin, tidak mungkin seorang doktor akan mampu mencapai kecemerlangan dalam kerjaya mereka. Beliau menyatakan bahawa alam pekerjaan sebagai seorang doktor sebenarnya jauh lebih mencabar jika dibandingkan dengan alam pengajian.

Rata-rata pelajar memberi sambutan yang baik semasa forum berlangsung. Ini dapat dilihat daripada pelbagai persoalan yang diajukan kepada kedua-dua ahli panel semasa berlangsungnya sesi soal jawab.


Norzafry b Norhalim
Wartawan/Jurufoto
Media ISMA

Saturday, November 14, 2009

Niat untuk suatu ikatan pernikahan.

Aku dapat artikel ini dari blog sahabat sekelas di Sains Machang dulu... Artikel yang diambil dari blog ustaz Halim... Mungkin satu peringatan untuk diri serta sahabat-sahabat. Tapi kalau letak artikel sebegini orang kata aku nak kahwin pula.. well.. semua orang nak kahwin kan?


Saya mendirikan rumahtangga pada 27.7.1985 semasa menuntut di Australia. Ketika itu umur belum mencecah 20 tahun (lahir 6.11.1965). Sebagai mahasiswa tahun ke 2 di Fakulti Kejuruteraan, University of Queensland, Brisbane, berkahwin ketika belajar dalam usia masih muda pula menuntut satu keputusan yang besar, dalam kematangan yang tak seberapa. Isteri, Fariza Ibrahim, berasal dari Pulau Pinang adalah penuntut Tahun 1, Fakulti Sains di Queensland University of Technology, Brisbane tiada masalah dalam menerima pinangan yang dibuat melalui sepasang seniors masing-masing kebetulan yang menuntut di fakulti yang sama pula. Hanya sebulan selepas pinangan diterima, majlis Walimah dijayakan di Mount Gravatt Mosque, Nursery Road, Holland Park, Brisbane sebagai menyahut saranan Syeikh Sayyid Qandil dari Canberra dimana katanya orang-orang Kristian berkahwin di gereja, sedang ramai pasangan Islam berkahwin di rumah, padahal kita lebih awla (patut) berkahwin di rumah ibadat (masjid) dari mereka. Mungkin ia diantara perkahwinan paling murah kosnya yang pernah saya dengar, hanya AUD20 (~RM50) sebagai Mas Kahwin, sedang kekawan berlumba menghulur untuk belanja Walimah. Keluarga wanita pula tidak menyebut sebarang Wang Hantaran. Saya kira keberkatan rumahtangga yang terasa hingga ke hari ini adalah disebabkan minimanya Mas Kahwin, mudahnya urusan seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Namun disana ada satu faktor lain yang memberkati sebuah perkahwinan. Ia adalah niat berkahwin. Walaupun dalam usia masih muda, tetapi niat ketika itu bukan sahaja untuk menjaga diri hidup di tengah-tengah masyarakat Barat yang permissive (boleh apa sahaja) tetapi menjangkau kepada harapan dengan perkahwinan nanti, saya lebih memahami Dakwah ini dalam suasana yang lebih matang, jauh dari tekanan hidup sebagai seorang bujang di perantauan. Ya, niat kerana Dakwah, bukan kerana selainnya. Begitulah yang difahami di dalam perbincangan usrah tentang Hadis Pertama dari Hadis 40. Selain bernazar jika berjaya pernikahan, saya akan berpuasa 30 hari, tekad anak muda ini ialah bekerja lebih keras untuk Dakwah ini hingga akan berulangalik ke Toowoomba, 90km dari Brisbane, berdakwah kepada pelajar-pelajar baru yang dihantar di sana. Tekad awal seumpama ini atau hampir dengannya ada disebut oleh Syeikh Ahmad Ar-Rashid (penulis Al-Muntalaq) dalam tajuk “Al-Azm Al-Mubakkir” (Berazam Dari Awal) dengan mambawa contoh azam Warqah bin Naufal, sepupu Khadijah ra, kepada Rasulullah saw, “Sekiranya aku masih hidup dihari engkau dihalau oleh kaummu, aku akan menolongmu dengan pertolongan yang sekuat-kuatnya”.

Memang azam dari awal merupakan salah satu bekalan Dakwah yang besar terutama untuk para Duat. Kesannya terhadap keikhlasan, kesungguhan, ketabahan, pengorbanan di jalan Dakwah, ikatan hati terhadap isteri dan anak-anak dapat dirasai walau panjang masa berlalu. Kesannya Niat yang sahih lagi ikhlas bukan sahaja terasa mengalir di dalam diri bahkan di dalam diri zuriat yang kita kasihi walau dekad berganti dekad.


Kepada para mahasiswa sekelian yang saya pernah seperti mereka suatu masa dahulu, juga sesiapa sahaja yang sedang berada diambang perkahwinan, aturilah niatmu dari sekarang, demi masadepanmu yang masih panjang. Sekian.


....Ustaz Abdul Halim - inijalanku 1 Nov 2007....

Wednesday, November 11, 2009

Tunggu Hidayah Datang Bergolek?


Saya baru sahaja habis chatting dengan adik perempuan yang belajar di UiTM. Tanya dia... kenapa masih belum dapat konsisten dalam usrah? Sibuk katanya. Sebagai pelajar architecture dia ada banyak projek. Ketika mana dia diajak keluar ke program itulah dia terikat dengan kesibukan belajar. Di tambah pula dengan tidak ada kenderaan. Dikomplikasikan lagi dengan masalah kesihatan. Memang satu cabaran yang besar. Untuk terus survive di dalam course itu sendiri pun satu cabaran, apatah lagi nak involve dalam aktiviti tambahan seperti usrah (baginya ini mungkin aktiviti tambahan, bagi saya ini aktiviti utama).

Kes berbeza untuk adik yang seorang lagi. Naqibnya datang ke kolej setiap minggu, namun tak dapat juga konsisten dengan usrah. Alasan kesibukan? Saya dulu belajar di kolej yang sama dengannya, boleh aje survive.

Semuanya berbalik kepada kemahuan. Tipikal jawapan yang kita dengar bila ditanya soalan bila mahu berubah? "Pintu hidayah untuk aku belum terbuka"... meremang bulu roma saya bila menulis ayat itu... Mengikut pengalaman saya, jarang orang yang hidayahnya datang bergolek. Jarang sekali dijumpai. Mungkin kes yang istimewa berlaku pada Cat Steven yang diselamatkan ketika lemas. Itupun dia masuk Islam setelah bertahun-tahun berkelana mencari.

MENCARI!!! Sepanjang hidup saya, saya lihat, mereka yang telah berubah, berubah bukan dengan hidayah datang bergolek. Allah saja yang tahu betapa besar keperitan yang mereka lalui untuk berubah. Tetapi itulah tarbiah dari Allah... manusia tidak berubah sekelip mata begitu sahaja. Manusia berubah dengan ujian... tarbiah dariNya... bagi saya tidak ada istilah hidayah datang bergolek. Hari ni dapat hidayah, tup tup esok terus jadi pak lebai pakai serban lapan kaki.

Hidayah sentiasa datang mengetuk pintu hati kita. Cuma atas kita samada mahu menjawab ketukan pintu itu dan membukanya atau pun terus lena dibuai mimpi hubbun dunia.

Apabila pintu dibuka jangan mengharapkan permaidani merah. Hidayah datang menjemput kita untuk menempuh ujian. Satu tarbiah. Tarbiah yang berterusan sampai mati. Ayuh sentiasalah kita jawab panggilan hidayah itu... dan ikutlah cahayaNya... ikut dan terus ikut sampai ke liang lahad... kerana cahaya itu menyuluh jalan yang mustaqim... satu-satunya jalan lurus yang membawa kita ke syurga.

Saturday, November 7, 2009

Kita Tertipu di Jalan Dakwah


Dunia ini penuh dengan penipuan, dan tarikan. Boleh dikatakan penipuan dan tarikan dunia ini adalah sunnah Allah untuk kita manusia. Ia satu ketetapan yang mesti dilalui oleh manusia sebagaimana air mendidih apabila kita panaskan hingga 100 degree celcius pada 1 atmospheric pressure. Ia benda yang pasti kita hadapi. Artikel ini berbicara tentang penipuan dan tarikan dunia.

Penipuan dan tarikan ini berada di mana-mana sahaja kita berada. Ia berada di setiap ceruk, lorong dan denai kehidupan yang kita lalui. Maka tidak melampau jika saya kata di dalam dunia dakwah juga ada banyak unsur penipuan dan tarikan dunia. Saya tak berbicara tentang penipuan yang dilakukan manusia sesama manusia yang biasanya penuh dengan fitnah, caci mencaci dan sebagainya. Saya bercakap tentang penipuan yang diberikan oleh tarikan dunia itu sendiri di dalam meletakkan matlamat dakwah.



Dunia menipu kita dengan dakwah... pelik bunyinya... tetapi itulah hakikatnya yang perlu kita tempuhi. Pelbagai program kita jalankan di atas jalan ini. Ada program umum, ada program khusus. Ada usrah, ada daurah. Ada forum, ada ceramah. Ada jaulah, ada riadhah. Tapi sayangnya, di celah-celah program inilah dunia menipu kita, para daie.

Bagaimana dunia menipu kita dengan program? Iaitu dengan membisikkan kepada kita agar meletakkan matlamat duniawi di dalam objektif program. Kita jadi bangga dengan program-program yang kita lakukan. Kita kagum dengan pencapaian kita. Kita mahukan pencapaian yang lebih besar dan kita kecewa apabila pencapaian itu merudum.

Kita bangga apabila program Aman Palestin dianjurkan dengan jaya. Pelajar datang memenuhi dewan IMS... suatu fenomena yang tidak pernah berlaku di dalam sejarah IMS. Kita bangga dengan kejayaan JASSI 08... orang bercakap mengenainya... kita bangga dengan jumlah pelajar yang ramai datang ke daurah... sebaliknya kita kecewa jika sesuatu program tidak mendapat sambutan.



Tanpa kita sedari, kita menjadi program oriented dai'e. Dai'e yang hanya memikirkan program. Dai'e yang bergantung kepada pencapaian program.

Saya ingin mengajak rakan-rakan seperjuangan sekalian untuk menyedari bahawa hakikat perjuangan kita terletak pada pencapaian redha Allah, bukan skala kejayaan atau pencapaian dunia yang dicerminkan dengan kejayaan-kejayaan program-program yang umum mahupun khusus. Benchmark kejayaan dakwah ini bukanlah kejayaan program-program itu, tetapi kejayaan menghasilkan generasi rabbani yang dapat meneruskan perjuangan ini.

Disinilah terletaknya teras perjuangan kita. Core business kita adalah dakwah dan tarbiah. Dakwah kita bukan dakwah kepada program tetapi dakwah kepada Allah. Jadi janganlah berpuas hati seandainya kita dapati orang yang tak pernah hadir program kita tiba-tiba hadir. Itu belum cukup. Kerja kita adalah untuk mengajak mereka di luar sana untuk mengesakan Allah dan mengamalkan islam sebenar-benarnya tanpa mencampurinya dengan cara hidup yang lain... dan keperitan sebenar berada pada tarbiah... pendidikan, bukan pada pembikinan program. Kerana tarbiah itu memakan masa...

Tarbiah perit kerana ia memakan masa... dan kita takkan dapat lihat kesannya sehingga kita mati. Jadi, kalau kita tak dapat melihat hasil usaha ini sampai kita mati, apakah balasan yang dapat kita jadikan motivasi untuk terus thabat di jalan ini? Tak lain dan tak bukan, hanyalah redha Allah dan kunci syurganya...

Bila kita sebut jalan da'wah kita memaksudkan jalan kepada Allah swt, jalan kepada keredhaan dan syurga Allah, jalan yang telah dijalani oleh Rasulullah s.a.w., jalan yang sama yang pernah dijalani oleh semua Rasul, jalan mu'min dan itulah Siratul Mustaqim (petikan dari surat perlantikan IYA Bangalore)

Saya hadiahkan sepotong hadith untuk tatapan bersama:

Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah, ada manusia yang bukan para Nabi dan bukan para syuhada', tetapi para Nabi dan syuhada' cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat, kerana kedudukannya di sisi Allah Taala. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, tuan berutahu kami siapakah mereka itu? Rasululah menjawab: mereka adalah kumpulan yang saling berkasih sayang kerana ALlah bukan kerana hubungan keluarga antara mereka dan bukan pula kerana harta yang saling mereka berikan. Demi Allah sesungguhnya muka mereka bercahaya dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak merasa takut ketika manusai merasa takut, tidak berdukacita ketika manusia lain berdukacita. Rasulullah pun membacakan ayat (bermaksud): Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita." (Yunus: 62)
(Riwayat Abu Dawud)

Wallahuallam...

Anas Aminin W M Izzuddin
Timbalan Pengerusi
IYA Bangalore


Wednesday, November 4, 2009

Ukhuwah & Theqah... ia terbina demi harakah ini



Rasanya inilah post pertama aku setelah pulang dari Mesir lebih sebulan yang lalu. Tak tertulis... rasanya sekarang adalah masanya untuk aku menulis. Kerana baru sekarang terasa impaknya.

Jaulah Mesir... Walaupun kami dikatakan sebagai ikhwah yang paling banyak berjalan, kurang berpengisian, namun segala yang diatur Allah itu ada setiap hikmahnya.





















Kami kurang pengisian di Mesir, tak seperti seorang akhwat yang ikut kami... dia banyak spend masanya bersama akhwat mesir, mendengar pengisian-pengisian. Tak mengapa... kerana Aku yakin, bukan itu tujuan kami ke Mesir. Tujuan kami ke Mesir adalah untuk berjaulah. Dan Jaulah ini mempunyai objektifnya tersendiri iaitu pemantapan ukhuwah dan pembinaan theqah.

Alhmdulillah... aku rasa, itulah yang kami dapat. Kita dapat apa yang kita niatkan. Kami berniat untuk rapatkan ukhuwah, untuk bina theqah. Maka itulah yang Allah berikan. Sepanjang dua minggu kami membina nilai sebuah ukhuwah dan theqah. Allah sajikan lagi pelbagai dugaan dan cabaran. Itulah madrasah yang kami lalui sepanjang dua Minggu di sana. Madrasah ukhuwah dan theqah... Ia satu pelajaran yang takkan didapati dalam daurah atau usrah.

Alhamdulillah... besar impaknya hasil madrasah ini... kerana ukhuwah itu kunci kepada sebuah pergerakan. Theqah itu pintu kepada kelancaran harakah ini. Tanpa ukhuwah dan theqah, tidak akan teguh organisasi ini. Dengan ukhuwah, setiap pekerjaan dilakukan bersama, dengan theqah setiap cabaran difikirkan bersama. Syukur padamu yaAllah... kau makbulkan doa permusafiranku. Kini aku ada ikhwah yang sanggup berkorban masa, tenaga dan harta...

Jazakallah pada ikhwah Mesir yang menunjukkan contoh tauladan. Antum telah memberikan satu tarbiah yang tidak ternilai buat kami. Tarbiah yang tak mungkin kami dapati dari daurah dan usrah...



Ya Allah, kau satukanlah hati-hati ini... isilah hati-hati ini dengan cahaya makrifahmu... thabatkanlah kami dijalan ini