Penipuan dan tarikan ini berada di mana-mana sahaja kita berada. Ia berada di setiap ceruk, lorong dan denai kehidupan yang kita lalui. Maka tidak melampau jika saya kata di dalam dunia dakwah juga ada banyak unsur penipuan dan tarikan dunia. Saya tak berbicara tentang penipuan yang dilakukan manusia sesama manusia yang biasanya penuh dengan fitnah, caci mencaci dan sebagainya. Saya bercakap tentang penipuan yang diberikan oleh tarikan dunia itu sendiri di dalam meletakkan matlamat dakwah.
Dunia menipu kita dengan dakwah... pelik bunyinya... tetapi itulah hakikatnya yang perlu kita tempuhi. Pelbagai program kita jalankan di atas jalan ini. Ada program umum, ada program khusus. Ada usrah, ada daurah. Ada forum, ada ceramah. Ada jaulah, ada riadhah. Tapi sayangnya, di celah-celah program inilah dunia menipu kita, para daie.
Bagaimana dunia menipu kita dengan program? Iaitu dengan membisikkan kepada kita agar meletakkan matlamat duniawi di dalam objektif program. Kita jadi bangga dengan program-program yang kita lakukan. Kita kagum dengan pencapaian kita. Kita mahukan pencapaian yang lebih besar dan kita kecewa apabila pencapaian itu merudum.
Kita bangga apabila program Aman Palestin dianjurkan dengan jaya. Pelajar datang memenuhi dewan IMS... suatu fenomena yang tidak pernah berlaku di dalam sejarah IMS. Kita bangga dengan kejayaan JASSI 08... orang bercakap mengenainya... kita bangga dengan jumlah pelajar yang ramai datang ke daurah... sebaliknya kita kecewa jika sesuatu program tidak mendapat sambutan.
Tanpa kita sedari, kita menjadi program oriented dai'e. Dai'e yang hanya memikirkan program. Dai'e yang bergantung kepada pencapaian program.
Saya ingin mengajak rakan-rakan seperjuangan sekalian untuk menyedari bahawa hakikat perjuangan kita terletak pada pencapaian redha Allah, bukan skala kejayaan atau pencapaian dunia yang dicerminkan dengan kejayaan-kejayaan program-program yang umum mahupun khusus. Benchmark kejayaan dakwah ini bukanlah kejayaan program-program itu, tetapi kejayaan menghasilkan generasi rabbani yang dapat meneruskan perjuangan ini.
Disinilah terletaknya teras perjuangan kita. Core business kita adalah dakwah dan tarbiah. Dakwah kita bukan dakwah kepada program tetapi dakwah kepada Allah. Jadi janganlah berpuas hati seandainya kita dapati orang yang tak pernah hadir program kita tiba-tiba hadir. Itu belum cukup. Kerja kita adalah untuk mengajak mereka di luar sana untuk mengesakan Allah dan mengamalkan islam sebenar-benarnya tanpa mencampurinya dengan cara hidup yang lain... dan keperitan sebenar berada pada tarbiah... pendidikan, bukan pada pembikinan program. Kerana tarbiah itu memakan masa...
Tarbiah perit kerana ia memakan masa... dan kita takkan dapat lihat kesannya sehingga kita mati. Jadi, kalau kita tak dapat melihat hasil usaha ini sampai kita mati, apakah balasan yang dapat kita jadikan motivasi untuk terus thabat di jalan ini? Tak lain dan tak bukan, hanyalah redha Allah dan kunci syurganya...
Bila kita sebut jalan da'wah kita memaksudkan jalan kepada Allah swt, jalan kepada keredhaan dan syurga Allah, jalan yang telah dijalani oleh Rasulullah s.a.w., jalan yang sama yang pernah dijalani oleh semua Rasul, jalan mu'min dan itulah Siratul Mustaqim (petikan dari surat perlantikan IYA Bangalore)
Saya hadiahkan sepotong hadith untuk tatapan bersama:
Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah, ada manusia yang bukan para Nabi dan bukan para syuhada', tetapi para Nabi dan syuhada' cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat, kerana kedudukannya di sisi Allah Taala. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, tuan berutahu kami siapakah mereka itu? Rasululah menjawab: mereka adalah kumpulan yang saling berkasih sayang kerana ALlah bukan kerana hubungan keluarga antara mereka dan bukan pula kerana harta yang saling mereka berikan. Demi Allah sesungguhnya muka mereka bercahaya dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak merasa takut ketika manusai merasa takut, tidak berdukacita ketika manusia lain berdukacita. Rasulullah pun membacakan ayat (bermaksud): Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita." (Yunus: 62)
(Riwayat Abu Dawud)
Wallahuallam...
Anas Aminin W M Izzuddin
Timbalan Pengerusi
IYA Bangalore
5 comments:
Bismillahi walhamdulillah,
salam ukhwah sekali lagi dari ana. tulisan yang baik, satu peringatan kepada kebolehlalaian kita terhadap hadaf utama dakwah yang kita serukan. begitulah juga Muhammad Ahmad ar-Rasyid mengingatkan kita para du'at bahawa kita tidak pernah lepas dari dua tarikan, hawa nafsu dunia dan jalan kebaikan menuju Allah.
jazakallah akhi...
astaghfirullah....same2 muhasabah...
Alhamdulillah, penulisan yg baik buat kita sama2 muhasabah. Ana minta izin kongsi artikel ni pada ikh/akh di NZ ^o^
Alhamdulillah... tafadhal Hurun'Een
Post a Comment