Aku dapat artikel ini dari blog sahabat sekelas di Sains Machang dulu... Artikel yang diambil dari blog ustaz Halim... Mungkin satu peringatan untuk diri serta sahabat-sahabat. Tapi kalau letak artikel sebegini orang kata aku nak kahwin pula.. well.. semua orang nak kahwin kan?
Saya mendirikan rumahtangga pada 27.7.1985 semasa menuntut di Australia. Ketika itu umur belum mencecah 20 tahun (lahir 6.11.1965). Sebagai mahasiswa tahun ke 2 di Fakulti Kejuruteraan, University of Queensland, Brisbane, berkahwin ketika belajar dalam usia masih muda pula menuntut satu keputusan yang besar, dalam kematangan yang tak seberapa. Isteri, Fariza Ibrahim, berasal dari Pulau Pinang adalah penuntut Tahun 1, Fakulti Sains di Queensland University of Technology, Brisbane tiada masalah dalam menerima pinangan yang dibuat melalui sepasang seniors masing-masing kebetulan yang menuntut di fakulti yang sama pula. Hanya sebulan selepas pinangan diterima, majlis Walimah dijayakan di Mount Gravatt Mosque, Nursery Road, Holland Park, Brisbane sebagai menyahut saranan Syeikh Sayyid Qandil dari Canberra dimana katanya orang-orang Kristian berkahwin di gereja, sedang ramai pasangan Islam berkahwin di rumah, padahal kita lebih awla (patut) berkahwin di rumah ibadat (masjid) dari mereka. Mungkin ia diantara perkahwinan paling murah kosnya yang pernah saya dengar, hanya AUD20 (~RM50) sebagai Mas Kahwin, sedang kekawan berlumba menghulur untuk belanja Walimah. Keluarga wanita pula tidak menyebut sebarang Wang Hantaran. Saya kira keberkatan rumahtangga yang terasa hingga ke hari ini adalah disebabkan minimanya Mas Kahwin, mudahnya urusan seperti yang dianjurkan oleh Islam.
Namun disana ada satu faktor lain yang memberkati sebuah perkahwinan. Ia adalah niat berkahwin. Walaupun dalam usia masih muda, tetapi niat ketika itu bukan sahaja untuk menjaga diri hidup di tengah-tengah masyarakat Barat yang permissive (boleh apa sahaja) tetapi menjangkau kepada harapan dengan perkahwinan nanti, saya lebih memahami Dakwah ini dalam suasana yang lebih matang, jauh dari tekanan hidup sebagai seorang bujang di perantauan. Ya, niat kerana Dakwah, bukan kerana selainnya. Begitulah yang difahami di dalam perbincangan usrah tentang Hadis Pertama dari Hadis 40. Selain bernazar jika berjaya pernikahan, saya akan berpuasa 30 hari, tekad anak muda ini ialah bekerja lebih keras untuk Dakwah ini hingga akan berulangalik ke Toowoomba, 90km dari Brisbane, berdakwah kepada pelajar-pelajar baru yang dihantar di sana. Tekad awal seumpama ini atau hampir dengannya ada disebut oleh Syeikh Ahmad Ar-Rashid (penulis Al-Muntalaq) dalam tajuk “Al-Azm Al-Mubakkir” (Berazam Dari Awal) dengan mambawa contoh azam Warqah bin Naufal, sepupu Khadijah ra, kepada Rasulullah saw, “Sekiranya aku masih hidup dihari engkau dihalau oleh kaummu, aku akan menolongmu dengan pertolongan yang sekuat-kuatnya”.
Memang azam dari awal merupakan salah satu bekalan Dakwah yang besar terutama untuk para Duat. Kesannya terhadap keikhlasan, kesungguhan, ketabahan, pengorbanan di jalan Dakwah, ikatan hati terhadap isteri dan anak-anak dapat dirasai walau panjang masa berlalu. Kesannya Niat yang sahih lagi ikhlas bukan sahaja terasa mengalir di dalam diri bahkan di dalam diri zuriat yang kita kasihi walau dekad berganti dekad.
Kepada para mahasiswa sekelian yang saya pernah seperti mereka suatu masa dahulu, juga sesiapa sahaja yang sedang berada diambang perkahwinan, aturilah niatmu dari sekarang, demi masadepanmu yang masih panjang. Sekian.
No comments:
Post a Comment