Saturday, November 28, 2009

Mahu kembalikannya? Perlu kita fikirkan syarat asasnya





Khilafah itu satu keperluan. Ia adalah payung untuk keamanan sejagat kemanusiaan di bumi Allah ini. Rasanya tidak perlu untuk saya menghuraikan dengan lebih panjang kenapa khilafah itu dapat memayungi manusia sejagat dengan keamanan. Kerana perbahasannya akan membawa kita dari satu mimpi ke dalam mimpi yang lain. Mimpi yang membisik ke dalam hati:

"Oh alangkah bagusnya jika khilafah itu ada sekarang. Pasti kan terubat pelbagai konflik kemanusiaan hari ini..."

"Betapa indahnya andai kita dapat melihat khilafah itu... alangkah baiknya jika kita dapat hidup di zaman khilafah..."

Perbahasan-perbahasan perlunya khilafah yang dibuat dengan mengkaji sejarah memang dapat membangkitkan semangat kita untuk sedar dengan kondisi umat Islam sekarang. Namun setelah mendengar harapan-harapan indah ini, kita sering terlekat dengan satu kenyataan :Bagaimana caranya untuk mengembalikan khilafah itu???

Syed Qutb di dalam buku Milestone saya lihat tidak banyak berbicara tentang keperluan khilafah itu. Ia tidak banyak membincangkan sejarah-sejarah kegemilangan lama itu. Seoalah-olah dia cuba memberitahu kita: Tinggalkan sejarah lama itu, tinggalkan monumen-monumen itu, sudah cukup lama kamu menatapinya. Sekarang ayuh, ambil segala pengajaran yang ditinggalkan generasi lama, dan teruskan perjalanan kita. Khilafah itu telah runtuh dan tugas kita untuk membinanya kembali bermula dari batu asas.

Sebaliknya buku Milestone ini lebih banyak berbicara tentang kaedah-kaedah untuk kita membina bangunan kekhilafahan ini. Perbincangan lebih berkisar di dalam metodologi-metodologinya, cabaran-cabaran, bekalan-bekalan yang diperlukan.

Syed Qutb membahaskan di dalam pendahuluan buku ini bahawa untuk Islam kembali menyinarkan cahayanya di dunia ini ummatnya mesti memenuhi beberapa syarat:

1) Ummat Islam di dalam kata erti sebenar perlu diwujudkan terlebih dahulu. Ummat ini tidak hanya membicarakan akidah di mulut tetapi menghidupkan akidah itu di dalam hidupnya. Ummat ini bukan sahaja berada di tanah di mana Islam tumbuh. Bukannya rakyat sebuah negara yang majoriti beragama Islam. Yang dikatakan Ummat Islam itu adalah sekumpulan manusia yang kehidupannya, konsepnya, sistemnya, nilainya dan seluruh pertimbangannya bersumber dari metodologi Islam. Ummat yang mempunyai sifat seperti ini telah lama hilang. Jadi tugas pendakwah masa kini adalah untuk membangkitkan ummat seperti ini.

2) Perlu ada suatu masyarakat manusia Islam yang tunduk pada Akidah dan cara hidup Islam yang sebenar. Seluruh masyarakat dunia sekarang tunduk kepada sistem Jahiliah yang mengambil manusia sebagai penguasa tertinggi, yang berhak membuat konseps dan nilai tersendiri, peraturan, undang-undang serta sistem sendiri. Melalui fahaman sekularisme, perkara-perkara ini terpisah dari metodologi dan keyakinan ke-Tuhanan untuk kehidupan. Manusia juga di dalam sistem bukan Islam masing-masing telah saling menyembah, dengan berbagai cara. Maka untuk Islam kembali berhak memimpin manusia, perlu ada suatu masyarakat yang hanya menyembah Allah s.w.t. dalam erti yang sebenar, menerima perintah Allah s.w.t. sahaja dan tunduk serta patuh kepada Allah sahaja.



3) Mesti ada kumpulan pelopor yang berazam besar, berkemahuan tinggi, dan berhati ikhlas untuk membangkitkan masyarakat Islam yang sebenar di tengah-tengah cengkaman jahiliah. Untuk para pelopor ini menjalankan tugasnya mereka mestilah mempunyai petunjuk jalan atau milestones. Petunjuk-petunjuk ini akan memberitahu kepadanya tentang:

-Bentuk peranannya
-Hakikat tugasnya
-Inti tujuan dan objektif perjuangannya
-Titik permulaan perjuangannya yang panjang
- Ciri-ciri khas yang harus dimilikinya
-Ciri-ciri khas jahiliah di sekelilingnya
-Cara-cara untuk melayan jahiliah di sekeliling dengan menggunakan kaedah dan konsep Islam
-Cara-cara untuk mengambil panduan itu



Buku Milestone ini ditulis oleh Syed Qutb untuk kita para pelopor gerak kerja ini. Agar kita dapat memahami hakikat dakwah ini, arah tujuannya, titik permulaan dakwah ini. Agar kita mengenali sifat-sifat jahiliah di sekeliling kita, agar kita dapat mencari ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh seorang daie ilallah....



No comments: