Sunday, January 17, 2010

MABIT: Membina Amal, Ukhuwah dan Takwa




Alhamdulillah setinggi-tinggi pujian hanya kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah...

Aku hanya mampu mengucapkan kalimah itu dibibirku. Di dalam kekalutan kehidupan seharian Allah masih lagi menarik aku untuk memerhatikan alam ini, memikirkan akah kejadian ciptaanNya, agar aku bertambah keyakinan bahawa aku ini hamba kepada Tuhan yang maha Agung.



Itulah kesimpulan yang dapat aku garap hasil pengalaman menyertai MABIT (Malam Bina Iman dan Takwa) anjuran ikhwah IYA Bangalore.

Daurah yang diberi oleh Akhi Zul sebelum tidur betul-betul membuka minda kita. Ilmu tasawwufnya yang disaluti bukti-bukti sains, dengan izin Allah telah berjaya menambahkan keyakinan aku akan KeTuhananNya dan kehambaan aku. Betapa aku ini hanyalah secebis makhluk yang bergantung sepenuhnya kepada Dia.

Apa yang Akhi Zul sampaikan? Mungkin terlalu kompleks dan panjang untuk aku simpulkan. Andai anda berminat untuk mengetahuinya bacalah bingkisan yang digarap oleh seorang ikhwah yang turut menyertai MABIT:

(Jazakallah kepada Akhi Hafizulfaiz di atas kesimpulan ini)

Daurah yang diberi Akhi Zul habis agak lambat. Pukul 12.30 baru dapat tutup majlis. Terima kasih juga kepada ikhwah semua yang banyak bertanya soalan sepanjang daurah diadakan. Seolah-olah semuanya tak mengantuk. Ini menyebabkan cabaran untuk bangun qiam menjadi sukar. Cabaran dibesarkan lagi dengan suhu pagi winter yang menggigit tulang...

Tapi Alhamdulillah... semua dapat bangun on time, qiam bersama-sama, menikmati keindahan bacaan qur'an semasa tahajjud... seusai subuh, Akhi Zul bagi tazkirah, kali ini berkenaan dengan takdir. Lepas subuh, ramai-ramai ke JP Park, menikmati udara dingin pagi Bangalore sebelum menjamah maggi di kedai Bashir...




Alhamdulillah...

Mungkin orang yang lemah seperti aku ini sentiasa perlukan amal jamai'e sebegini untuk meningkatkan iman... Agak sukar untuk aku beramal sendirian tanpa dorongan ikhwah bersama. InsyaAllah, akan aku usaha lebih kuat lagi untuk meningkatkan amal.... melalui latihan-latihan jamai'e seperti ini diharapkan agar aku menjadi lebih kuat di kala keseorangan. Dai'e mestilah kuat imannya.. cuma kadang-kadang terfutur... disinilah perlunya ikhwah yang kuat imannya agar dapat menarik kita yang futur.




Moga Allah izinkan lagi aku untuk ke MABIT siri 2... InsyaAllah dijangka akan dibuat 2 minggu dari sekarang. Kali ini aku pula yang perlu beri pengisian. Mungkin kali ini aku akan menyentuh kupasan buku Asas-Asas Islam karangan Maududi. Jika hari ni kita belajar tasawuf insyaAllah, 2 minggu lagi kita akan mantapkan fikrah kita tentang agama yang kita anuti ini.




Hidup biar bermakna...


Monday, December 7, 2009

NGO vs Syarikat; Pesanan SU Agong ISMA

Entri ini saya ambil dari SU Agong ISMA, Aminddin Yahya. Sangat berguna untuk kita yang baru berkecimpung dalam NGO. Terfikir... bagus juga kita dengar kata-kata orang lama ni sebab mereka banyak pengalaman. jadi kadang-kadang kena dengar juga kata-kata dan nasihat mereka...

Setelah 16 tahu berniaga dan mengendalikan perniagaan sendiri dan dalam masa yang sama sudah 28 tahunbergerak dalam NGO maka aku dapati terlalu banyak perbezaan; antara NGO dan Syarikat. Secara umumnya bolehlah aku gariskan beberapa perkara :-

1. Misi NGO jauh lebih besar dari syarikat tetapi perjalanannya sangat lambat. Kadang kala macam tak akan sampai. Ia penuh idealism sehingga sukar untuk menjejak kaki ke bumi nyata. Yang uniknya, walaupun misinya besar tetapi gerakerrjanya tidak melambangkan misi. Adakah lambat ini satu sunnah atau ia satu kelemahan? Saya masih mencari jawapannya.

2. Lebih 80% kerja NGO adalah untuk megendalikan manusia tapi dalam syarikat hanya 50%. Bukan senang utk kendalikan manusia kerana dia mempunyai perasaan.

3. Penglibatan NGO berbentuk sukarela tapi syarikat sukapaksa. Dalam syarikat jika tak datang atau tak perform, boleh di buang. Tapi NGO, kalau tak buat kerja/tak perform, hanya boleh “nasihat” sikit2. Kalau banyak, berasa hati pulak,silap2 langsung tak timbul2 dah. Akibatnya, banyak kerja tertangguh, program tak berjalan, objektif tak tercapai….tapi ketua tetap kena senyum (walaupun dalam hati panas membara).

4. Disiplin NGO tak sama dgn disiplin syarikat. Dalam NGO disiplinnya bukan saja luaran tapi perasaan. Kalau tak setujupun, tetap kena patuh. Dalam syarikat, elemen perasaan tak jadi perhatian. Apa yang pekerja nak rasai, boss tak peduli.

5. Perbincangan dalam NGO selalunya tidak berapa objektif. Ia agak santai dan sederhana kerana masing2 tidak akan menanggung kerugian jika apa2 berlaku. Impaknya tidak begitu jelas. Jadi kadangkala perbincangan yang sepatunya habis dalam 3 jam boleh jadi 8 jam. Tetapi dalam syarikat, perbincangan selalunya serius terutama peringkat atasan. Ini kerana ia melibatkan untung rugi. Kalau silap boleh menyebabkan syarikat di tutup.

6. Datang lewat utk perbincangan dalam NGO adalah satu perkara biasa. Kalaupun di tegur, ia akan baik sekejap tapi lepas itu akan jadi kembali lewat. Ini kerana tidak ada apa yang hendak di kejarkan, tak ada imbuhan duit dan seumpamanya. Tapi dalam syarikat, jika lewat bermakna kita akan mendapat “show cause letter”

7. Dalam NGO tidak boleh bersemangat sangat. Sesiapa yang terlebih semangatnya akhirnya akan kecewa sendiri. Harus banyak bertenang dan bergerak mengikut keadaan sekeliling. Dalam syarikat, lagi bersemangat maka lagi banyak peluang yang di beri.

8. Dalam NGO, kalau berjaya tidak ada sesiapa yang akan puji. Hanya sekadar sujud syukur sendiri-sendiri kepada Allah dan mengharapkan janji syurganya yang masih belum pasti. Tapi yang pasti, jika silap, maka seluruh organisasi akan menuding jari padanya. Dalam syarikat, kalau berjaya, dapat berlipat ganda bonus, surat pujian, dan merit increment.

9. Dalam NGO tidak boleh terlalu ideal seperti mana yang di pelajari tetapi sebaliknya tepaksa akur dengan sifat2 Melayu yang “kurang” rajin, suka berangan2, mudah patah semangat, cepat mengalah, tidak berterus terang (simpan perasaan). Dalam syarikat setiap pekerjaan perlu di buat se ideal yang mungkin untuk menjaga kualiti. Sifat2 Melayu tidak di pedulikan. sebab itu ramai anak2 muda melayu tidak boleh tahan bekerja dengan swasta.

10. Peraturan dalam NGO selalunya sukar utk dipatuhi. Buatlah macamana baiknya peraturan, ia kemungkinan besar akan tinggal sbg slogan saja. Tidak ada hukuman yang di kenakan jika melanggar peraturan, jadi dorongan untuk patuh itu sangat sedikit. Dalam syarikat jika tak patuh boleh dikenakan tindakan disiplin.

11. Dalam NGO setiap kerja memerlukan banyak “reminder” (Ahli biasanya tidak mencatit tugasan yang di beri) Kalau tidak ahli lupa. Bukan itu saja, yang lebih malang lagi, dia menyalahkan kepada yang bertanggungjawab kerana tak remind dia. Sukar utk dia untuk mengaku silap kerana terlupa. Dalam syarikat setiap pegawai perlu catit apa yang boss suruh, jika lupa bermakna melepaslah soruuu.

12. Dalam NGO selalunya idea terlalu banyak dan bernas2 berlaka tetapi bila tiba nak buat, memusing cari orang. Sebab tak ada imbuhan yang nyata. Akhirnya idea terbengkalai. Dalam syarikat idea banyak juga, selalunya dari boss je tapi pelaksananya ramai kerana imbuhannya besar.

13. Akhirnya NGO mengajar akusupaya bersabar semaksima yg mungkin. Walau apapun natijahnya, aku tetap perlu bersabar dan istiqamah. Kurang melihat performance orang lain tapi sebaliknya lihat performance sendiri, buat setakat kederat yang ada tanpa lebih atau kurang. Rancang hidup sendiri kerana tidak ada orang lain yang akan sanggup bersusah kerana diri kita. Tidak ada manusia yang boleh memberi semangat kecuali diri sendiri.

Manual For a Friendship


Dalam kehidupan kita seharian pelbagai sengketa yang kita alami.Ketenangan hidup biasanya diganggu dengan kerenah-kerenah orang sekeliling kita. Yang lebih menyedihkan, 'orang-orang sekeliling' itu adalah teman-teman kita yang rapat.


Pelbagai kerenah di dalam hubungan persahabatan ini akan terus menghambat hidup kita sehingga kita mati. Maka ramai orang mencari formula yang terbaik untuk sebuah persahabatan yang utuh tanpa sengketa dan konflik yang memusnah. untuk itu Al-Qur'an telah memberi kita manual yang mantap dan jelas untuk kita jalankan hubungan persahabatan dengan baik. InsyaAllah jika diikuti semua arahan-arahan ini kita akan dapat ketenangan di dalam sebuah persahabatan. Manual ini diberi di dalam surah Al-Hujurat.

Antara isi kandungan surah al Hujurat adalah berikut:

1- Suruhan Tabayun: memeriksa dulu kesahihan berita apabila mendengarnya.

2-Larangan memperolok-olokkan orang atau kelompok lain

3-Larangan mencela orang lain

4-Larangan memberi gelaran atau label buruk kepada seseorang atau kumpulan.

5-Suruhan menjauhi prasangka buruk terhadap orang lain

6-Larangan Tajassus: mencari-cari keaiban orang lain

7- Menjauhi ghibah atau mengumpat

Saya letakkan lagi sebuah hadith yang diberikan oleh seorang ikhwah Mesir kepada saya untuk perkongsian bersama. Selamat menjalinkan sebuah ukhuwah fillah yang indah:

”Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya. Barang siapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa yang mengeluarkan seorang muslim dari kesusahan (di dunia) maka Allah akan mengeluarkannya dari kesusahan hari kiamat dan barang siapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat” (HR. Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)

P/S: Jazakallah kepada Ikhwah Mesir yang memberi input ini kepada ana.

Saturday, November 28, 2009

Mahu kembalikannya? Perlu kita fikirkan syarat asasnya





Khilafah itu satu keperluan. Ia adalah payung untuk keamanan sejagat kemanusiaan di bumi Allah ini. Rasanya tidak perlu untuk saya menghuraikan dengan lebih panjang kenapa khilafah itu dapat memayungi manusia sejagat dengan keamanan. Kerana perbahasannya akan membawa kita dari satu mimpi ke dalam mimpi yang lain. Mimpi yang membisik ke dalam hati:

"Oh alangkah bagusnya jika khilafah itu ada sekarang. Pasti kan terubat pelbagai konflik kemanusiaan hari ini..."

"Betapa indahnya andai kita dapat melihat khilafah itu... alangkah baiknya jika kita dapat hidup di zaman khilafah..."

Perbahasan-perbahasan perlunya khilafah yang dibuat dengan mengkaji sejarah memang dapat membangkitkan semangat kita untuk sedar dengan kondisi umat Islam sekarang. Namun setelah mendengar harapan-harapan indah ini, kita sering terlekat dengan satu kenyataan :Bagaimana caranya untuk mengembalikan khilafah itu???

Syed Qutb di dalam buku Milestone saya lihat tidak banyak berbicara tentang keperluan khilafah itu. Ia tidak banyak membincangkan sejarah-sejarah kegemilangan lama itu. Seoalah-olah dia cuba memberitahu kita: Tinggalkan sejarah lama itu, tinggalkan monumen-monumen itu, sudah cukup lama kamu menatapinya. Sekarang ayuh, ambil segala pengajaran yang ditinggalkan generasi lama, dan teruskan perjalanan kita. Khilafah itu telah runtuh dan tugas kita untuk membinanya kembali bermula dari batu asas.

Sebaliknya buku Milestone ini lebih banyak berbicara tentang kaedah-kaedah untuk kita membina bangunan kekhilafahan ini. Perbincangan lebih berkisar di dalam metodologi-metodologinya, cabaran-cabaran, bekalan-bekalan yang diperlukan.

Syed Qutb membahaskan di dalam pendahuluan buku ini bahawa untuk Islam kembali menyinarkan cahayanya di dunia ini ummatnya mesti memenuhi beberapa syarat:

1) Ummat Islam di dalam kata erti sebenar perlu diwujudkan terlebih dahulu. Ummat ini tidak hanya membicarakan akidah di mulut tetapi menghidupkan akidah itu di dalam hidupnya. Ummat ini bukan sahaja berada di tanah di mana Islam tumbuh. Bukannya rakyat sebuah negara yang majoriti beragama Islam. Yang dikatakan Ummat Islam itu adalah sekumpulan manusia yang kehidupannya, konsepnya, sistemnya, nilainya dan seluruh pertimbangannya bersumber dari metodologi Islam. Ummat yang mempunyai sifat seperti ini telah lama hilang. Jadi tugas pendakwah masa kini adalah untuk membangkitkan ummat seperti ini.

2) Perlu ada suatu masyarakat manusia Islam yang tunduk pada Akidah dan cara hidup Islam yang sebenar. Seluruh masyarakat dunia sekarang tunduk kepada sistem Jahiliah yang mengambil manusia sebagai penguasa tertinggi, yang berhak membuat konseps dan nilai tersendiri, peraturan, undang-undang serta sistem sendiri. Melalui fahaman sekularisme, perkara-perkara ini terpisah dari metodologi dan keyakinan ke-Tuhanan untuk kehidupan. Manusia juga di dalam sistem bukan Islam masing-masing telah saling menyembah, dengan berbagai cara. Maka untuk Islam kembali berhak memimpin manusia, perlu ada suatu masyarakat yang hanya menyembah Allah s.w.t. dalam erti yang sebenar, menerima perintah Allah s.w.t. sahaja dan tunduk serta patuh kepada Allah sahaja.



3) Mesti ada kumpulan pelopor yang berazam besar, berkemahuan tinggi, dan berhati ikhlas untuk membangkitkan masyarakat Islam yang sebenar di tengah-tengah cengkaman jahiliah. Untuk para pelopor ini menjalankan tugasnya mereka mestilah mempunyai petunjuk jalan atau milestones. Petunjuk-petunjuk ini akan memberitahu kepadanya tentang:

-Bentuk peranannya
-Hakikat tugasnya
-Inti tujuan dan objektif perjuangannya
-Titik permulaan perjuangannya yang panjang
- Ciri-ciri khas yang harus dimilikinya
-Ciri-ciri khas jahiliah di sekelilingnya
-Cara-cara untuk melayan jahiliah di sekeliling dengan menggunakan kaedah dan konsep Islam
-Cara-cara untuk mengambil panduan itu



Buku Milestone ini ditulis oleh Syed Qutb untuk kita para pelopor gerak kerja ini. Agar kita dapat memahami hakikat dakwah ini, arah tujuannya, titik permulaan dakwah ini. Agar kita mengenali sifat-sifat jahiliah di sekeliling kita, agar kita dapat mencari ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh seorang daie ilallah....



Thursday, November 26, 2009

Prolog Kupasan Buku "Pedoman Pendakwah Sepanjang Zaman" dari Syed Qutb


InsyaAllah saya akan memulakan satu siri artikel yang membedah buku Syed Qutb yang bertajuk Pedoman Pendakwah Sepanjang Zaman atau dalam bahasa Arabnya Ma'alim fi al-Thariq.

Suka untuk saya mengongsikan apa yang ditulis Syed Qutb tentang dakwah. Metodologi Dakwah telah menjadi satu bidang kajian yang paling saya minati sejak mula menceburkan diri secara serius di dalam bidang ini.

Menjalankan kerja dakwah sama seperti menjalankan sebuah perniagaan. Di dalamnya terdapat banyak jalan dan cara untuk mencapai satu target iaitu keuntungan. Dan kita lihat, di dalam alam perniagaan, ada yang gagal dan ada yang berjaya. Ada yang hanya mampu mengayakan diri, tanpa mengayakan anak-anak. Ada juga yang mampu mengayakan diri, dan hasil kekayaan itu dapat dirasai oleh tiga generasi berikutnya. Tidak kurang juga yang mampu mengayakan diri, keluarga dan masyarakat sekitarnya. Di samping ada yang kaya dengan segera. Ada juga yang kaya dengan lambat. Ada yang kaya sebentar dan ada juga yang mampu mengekalkan kekayaan pada tempoh masa yang lama.

Apa yang pasti, dalam alam perniagaan, kita mahukan kekayaan yang terbaik, iaitu kekayaan yang mampu memberikan kita sebuah kebebasan kewangan tanpa henti atau "financial freedom" dan dengan financial freedom itu kita dapat memberi manfaat pada orang lain sekaligus menjadikan kita seorang kaya yang mulia.

Sama seperti Dakwah. Tujuan utama dakwah tak lain dan tak bukan adalah untuk mencapai keredhaan Allah SWT dan agar kita dapat menjawab di akhirat kelak. Cumanya, sejak mula serius di dalam arena dakwah, saya melihat variasi dalam mencapai target ini. Namun, bagi yang baru mengorak langkah, kalian pasti melihat semua jemaah ini sebagai sama, tiada beza di antara satu jemaah dengan jemaah-jemaah yang lain. Kalian juga pasti merasa pelik kenapa jemaah yang pelbagai ini tidak bersatu di bawah satu payung, kerana logiknya Islam itu menganjurkan kesatuan ummat. Ini mungkin berlaku kerana kalian hanya melihat pada matlamat akhir dakwah yang dijalankan oleh setiap jemaah ini, tidak pada metodnya.

Variasai metodologi dakwah wujud dalam pelbagai bentuk. Ada yang menjalankannya secara bersendirian, ada yang menjalankannya secara berkumpulan di dalam sebuah harakah. Harakah pula banyak jenis. Ada harakah menjalankan dakwah dengan politik, ada yang tidak berpolitik sebaliknya membina masyarakat dari bawah. Kepelbagaian juga wujud di dalam menafsir marhalah (peringkat) dakwah ini. Ada yang memandang bahawa negara islam dapat diwujudkan dalam masa 11 tahun lagi dan ada juga yang memandang bahawa daulah akan muncul pada generasi yang berikutnya. Tidak kurang juga yang berbeza pendapat dalam menafsir bentuk jihad. Ada yang berjihad di atas jalan kemanusiaan, ada yang berjihad di dalam arena politik kepartian, dan ada yang berjihad membentuk individu-individu. Ada juga yang memandang jihad dalam Islam sebagai jihad defensif iaitu dengan memastikan orang Islam terselamat dari hambatan jahiliah barat dan timur, dan ada juga yang melihat jihad sebagai suatu yang progresif.

Kepelbagaian ini membawa saya kepada satu konklusi; bahawa di dalam hiruk pikuk variasi ini saya yakin terdapat satu kumpulan manusia yang membawa metodologi dakwah yang paling hampir dengan metodologi kenabian. Ini menjadikan saya sebagai seorang musafir yang 'mencari'. Di dalam pencarian itu, saya singgah di pelbagai tempat, saya baca pelbagai buku, dan saya dengar pelbagai pendapat.

Syed Qutb boleh saya anggap sebagai seorang yang berpengalaman di dalam dakwah. Buku Ma'alim fi al-Thariq yang akan saya bedah ini menceritakan pengalaman beliau dan rakan-rakan di dalam dakwah dan tentang apa yang mereka fahami dengan dakwah ini. Dengan kupasan ini InsyaAllah kita dapat memahami perbezaan jemaah-jemaah ini, dan akhirnya mencari satu platform yang terbaik untuk kita berjuang di atasnya.

Terlebih dahulu saya ingin 'disclaim' awal-awal dengan mengatakan bahawa Syed Qutb juga seorang manusia dan sebagai manusia dia pasti membuat silap. Apa yang lebih penting, tafsiran saya sendiri terhadap tulisan ini mungkin salah.

Saya panjatkan doa kepada Allah agar saya dapat istiqamah di dalam menulis kupasan ini. Wallahualam.







Tuesday, November 17, 2009

Bakal doktor dari India diseru tingkatkan komitmen dalam kerjaya


Bangalore, 7 Nov. - Suasana pengamal-pengamal perubatan masakini di tanahair cukup merisaukan. Ini dilihat dari kualiti kerja yang semakin menurun di kalangan pengamal-pengamal perubatan terutamanya mereka yang baru tamat pengajian. Senario ini mungkin berlaku disebabkan pengamal-pengamal perubatan masakini lebih mementingkan soal gaji daripada kerjaya dalam bidang perubatan itu sendiri.

Sehubungan dengan itu, Prof. Madya Dr Zainur Rashid bin Zainuddin, Timbalan Pengerusi Sekretariat Luar Negara ISMA menyeru pelajar perubatan di sini untuk lebih komited dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengamal perubatan. Ini boleh dilakukan dengan sentiasa mengingati hakikat bahawa tugas seorang doktor bukan sekadar merawat pesakit, tetapi juga untuk memastikan pesakit berada dalam keadaan yang tenang emosinya.

Photobucket Photobucket

Beliau menjelaskan bahawa nisbah jumlah doktor dengan pesakit di tanahair adalah tidak setanding, maka seandainya seorang doktor hanya bekerja 8 jam sahaja, sudah semestinya masa yang diluangkan bersama pesakit akan dikurangkan, walhal pesakit memerlukan doktor untuk mendapatkan dorongan dan semangat untuk mengharungi penyakit yang dihidapi.

Beliau berkata demikian di hadapan sekitar 100 orang pelajar perubatan dari International Medical College, Management Science University di sini. Forum “Medicine Coffee Talk” ini juga telah disertai oleh Dr. Naziah bt Haron dari i-Medik, yang juga merupakan isteri kepada Prof. Madya Dr Zainur Rashid. Program ini adalah anjuran bersama Sekretariat Perhubungan Luar Negara ISMA dan Islamic Youth Association (IYA) Bangalore, dan telah dipengerusikan oleh saudara Anas Aminin, Timbalan Pengerusi IYA Bangalore.

Photobucket Photobucket

Pelbagai pengalaman dikongsikan semasa forum tersebut, antaranya ialah tentang halatuju kerjaya sebagai graduan perubatan dari India, dan juga pengalaman mengharungi “housemanship” di Malaysia yang dikongsikan oleh Dr Naziah.

Dr Zainur Rashid juga turut menekankan bahawa disiplin adalah aspek penting dalam kerjaya sebagai doktor. Tanpa disiplin, tidak mungkin seorang doktor akan mampu mencapai kecemerlangan dalam kerjaya mereka. Beliau menyatakan bahawa alam pekerjaan sebagai seorang doktor sebenarnya jauh lebih mencabar jika dibandingkan dengan alam pengajian.

Rata-rata pelajar memberi sambutan yang baik semasa forum berlangsung. Ini dapat dilihat daripada pelbagai persoalan yang diajukan kepada kedua-dua ahli panel semasa berlangsungnya sesi soal jawab.


Norzafry b Norhalim
Wartawan/Jurufoto
Media ISMA

Saturday, November 14, 2009

Niat untuk suatu ikatan pernikahan.

Aku dapat artikel ini dari blog sahabat sekelas di Sains Machang dulu... Artikel yang diambil dari blog ustaz Halim... Mungkin satu peringatan untuk diri serta sahabat-sahabat. Tapi kalau letak artikel sebegini orang kata aku nak kahwin pula.. well.. semua orang nak kahwin kan?


Saya mendirikan rumahtangga pada 27.7.1985 semasa menuntut di Australia. Ketika itu umur belum mencecah 20 tahun (lahir 6.11.1965). Sebagai mahasiswa tahun ke 2 di Fakulti Kejuruteraan, University of Queensland, Brisbane, berkahwin ketika belajar dalam usia masih muda pula menuntut satu keputusan yang besar, dalam kematangan yang tak seberapa. Isteri, Fariza Ibrahim, berasal dari Pulau Pinang adalah penuntut Tahun 1, Fakulti Sains di Queensland University of Technology, Brisbane tiada masalah dalam menerima pinangan yang dibuat melalui sepasang seniors masing-masing kebetulan yang menuntut di fakulti yang sama pula. Hanya sebulan selepas pinangan diterima, majlis Walimah dijayakan di Mount Gravatt Mosque, Nursery Road, Holland Park, Brisbane sebagai menyahut saranan Syeikh Sayyid Qandil dari Canberra dimana katanya orang-orang Kristian berkahwin di gereja, sedang ramai pasangan Islam berkahwin di rumah, padahal kita lebih awla (patut) berkahwin di rumah ibadat (masjid) dari mereka. Mungkin ia diantara perkahwinan paling murah kosnya yang pernah saya dengar, hanya AUD20 (~RM50) sebagai Mas Kahwin, sedang kekawan berlumba menghulur untuk belanja Walimah. Keluarga wanita pula tidak menyebut sebarang Wang Hantaran. Saya kira keberkatan rumahtangga yang terasa hingga ke hari ini adalah disebabkan minimanya Mas Kahwin, mudahnya urusan seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Namun disana ada satu faktor lain yang memberkati sebuah perkahwinan. Ia adalah niat berkahwin. Walaupun dalam usia masih muda, tetapi niat ketika itu bukan sahaja untuk menjaga diri hidup di tengah-tengah masyarakat Barat yang permissive (boleh apa sahaja) tetapi menjangkau kepada harapan dengan perkahwinan nanti, saya lebih memahami Dakwah ini dalam suasana yang lebih matang, jauh dari tekanan hidup sebagai seorang bujang di perantauan. Ya, niat kerana Dakwah, bukan kerana selainnya. Begitulah yang difahami di dalam perbincangan usrah tentang Hadis Pertama dari Hadis 40. Selain bernazar jika berjaya pernikahan, saya akan berpuasa 30 hari, tekad anak muda ini ialah bekerja lebih keras untuk Dakwah ini hingga akan berulangalik ke Toowoomba, 90km dari Brisbane, berdakwah kepada pelajar-pelajar baru yang dihantar di sana. Tekad awal seumpama ini atau hampir dengannya ada disebut oleh Syeikh Ahmad Ar-Rashid (penulis Al-Muntalaq) dalam tajuk “Al-Azm Al-Mubakkir” (Berazam Dari Awal) dengan mambawa contoh azam Warqah bin Naufal, sepupu Khadijah ra, kepada Rasulullah saw, “Sekiranya aku masih hidup dihari engkau dihalau oleh kaummu, aku akan menolongmu dengan pertolongan yang sekuat-kuatnya”.

Memang azam dari awal merupakan salah satu bekalan Dakwah yang besar terutama untuk para Duat. Kesannya terhadap keikhlasan, kesungguhan, ketabahan, pengorbanan di jalan Dakwah, ikatan hati terhadap isteri dan anak-anak dapat dirasai walau panjang masa berlalu. Kesannya Niat yang sahih lagi ikhlas bukan sahaja terasa mengalir di dalam diri bahkan di dalam diri zuriat yang kita kasihi walau dekad berganti dekad.


Kepada para mahasiswa sekelian yang saya pernah seperti mereka suatu masa dahulu, juga sesiapa sahaja yang sedang berada diambang perkahwinan, aturilah niatmu dari sekarang, demi masadepanmu yang masih panjang. Sekian.


....Ustaz Abdul Halim - inijalanku 1 Nov 2007....