Wednesday, March 10, 2010

Rijal-rijal yang kita mahu... Bukan Pengikut

Apa bezanya antara rijal pembawa dakwah dengan pengikut?

Rijal pembawa dakwah itu adalah insan-insan proaktif. Yang diikutinya adalah jalan serta method dakwah yang dibawa oleh Murabbinya.

Pengikut adalah insan-insan yang pasif. Yang diikutinya adalah pengaruh yang dibawa oleh pemimpinnya.

Rijal-rijal sudahpun meletakkan sepenuh hatinya pada jalan dakwah, menginfak seluruh hidupnya untuk mengajak insan-insan lain kepada jalan ini juga. Mereka tidak bergantung kepada pemimpin untuk terus berjuang.

Pengikut belum pasti lagi meletakkan hatinya di jalan dakwah. Hatinya pada pemimpin, bergantung pada pemimpin. Andai rebah pemimpin, rebahlah perjuangannya.

Rijal itu sedikit bilangannya...

Pengikut itu ramai...

Seorang rijal, boleh membentuk rijal yang lain agar menjadi rijal sepertinya..

Seorang pengikut hanya boleh mempengaruhi orang lain untuk menerima pendapatnya semata...



Di dalam badan dakwah, kita perlukan rijal, bukan pengikut. Maka pengaruh semata bukanlah menjadi ukuran, tetapi betapa ramainya rijal yang berjiwa seperti kita yang mampu kita hasilkan.

Untuk dapatkan pengikut kerjanya senang. Banyakkan ceramah, banyakkan menulis, petahkan pidato, banyakkan program, banyakkan kebajikan... nescaya ramai yang mahu jadi pengikut... terpesona dengan peribadi kamu... lalu pengikut mahu kamu jadi pemimpin mewakili mereka.

Untuk dapatkan seorang rijal? Ceramah kena buat, menulis pun kena buat, pidato pun perlu dipetahkan, kebajikan perlu diperbanyakkan... untuk apa? untuk kita identify di kalangan mereka yang terpengaruh, siapa yang cukup hebat untuk dijadikan rijal. Kemudian? Kerja seterusnya adalah kerja sebenar seorang Murabbi... membentuk rijal terpilih ini agar jadi seperti kita. Kerjanya bukan kerja mudah... hati perlu dimenangi, ta'aruf mesti didalami, didikan peribadi dibuat satu per satu, ideologi ditanam secara peribadi... kerja yang menuntut masa kerana bukan seorang rijal yang dikenal pasti tapi mungkin 5 atau 10 orang.

Hayat sesuatu badan dakwah amat bergantung kepada rijal yang dihasilkan kerana rijal inilah yang akan meneruskan perjuangan. Rijal terbaik yang boleh dibentuk adalah anak yang lahir dari benih kita sendiri; maka pemilihan zaujah turut memahami dakwah juga adalah pra syarat untuk memastikan anak itu ditarbiah agar menjadi rijal.


Pengikut? Belum pasti dapat meneruskan sebuah perjuangan. Kerana mereka hanya mengharapkan seorang pemimpin untuk mereka jadikan wakil bagi menyenangkan hidup mereka.

Anas Aminin W M Izzuddin
Bangalore

No comments: