Friday, August 7, 2009

Ke Mana Aku, Ke Manakah Kita?




Sejak kehadiranku ke India aku banyak melibatkan diri di dalam kerja-kerja persatuan, samada secara langsung (sebagai pimpinan) mahupun secara tidak langsung (membantu pimpinan). 2 tahun menggelumangkan diri di dalam pelbagai kerja-kerja persatuan sedikit sebanyak menyibukkan diriku yang sudah semestinya semulajadi sibuk dengan pelajaran. Selepas 2 tahun, ada layaknya untuk aku berpaling ke belakang sebentar untuk melihat kembali hasil yang telah diusahakan dari titik peluhku (dan rakan-rakan). 2 tahun yang lalu, tertanam jauh di benak hati ingin melihat tarbiah hidup subur di bumi bangalore ini, apatah lagi bumi India. Keinginan ini terhasil dari pengalaman indah hidup di dalam tarbiah selama 2 tahun di KMB. Aku teringin membawa apa yang aku alami dahulu di sini. Kerana ia Indah. Ingin ku kongsi hidup indah di dalam peringatan-peringatan kepada Tuhan, hidup yang penuh dengan pesanan-pesanan kepada kebenaran dan kesabaran... hidup yang bebas dari cengkaman kehidupan jahiliah yang bisa membutuhkan hati, yang menumpulkan minda, yang melumpuhkan anggota, menjadikan kita bangsa yang layu.


Hidup Indah di dalam tarbiah... menyucikan hati... menunjukkan arah tuju

Sekurang-kurangnya itulah impian yang aku pasang setibanya aku disini. Namun, perjalanan tak semudah disangka. Aku di KMB hanyalah mad'u. Tiada pengalaman dakwah. Boleh dikatakan aku ini tidak cukup latihan. Aku hanya betul-betul terlibat di dalam usrah hanya beberapa bulan sebelum pengajian di KMB tamat. Itupun silabus tak habis. Semasa di KMB tertanam di benak kepala yang aku akan ke Ireland atau Australia. Andai betul aku kesana aku dapat menarik nafas lega kerana aku hanya perlu meneruskan apa yang aku lalui di KMB. Terus menjadi mad'u selama beberapa tahun, dididik dari bawah perlahan-lahan sebelum menjadi betul-betul matang untuk memimpin mana-mana gerakan.
Namun takdir Allah menentukan aku dihantar ke India. Setibanya di India aku terpinga-pinga. Memang ujian Allah berat. Di sini tiada tarbiah!!! Bumi ini masih gersang, tiada suasana islami sesubur bumi Australia, Eropah atau Mesir. Tambahan lagi, aku ini pioneer di sini! Ya Allah. Apa yang perlu dibuat? Ilmu secetek air di kolah yang kering... Pengalaman sedikit bagai titisan embun... Ingin melakukan tugas sebesar dakwah dan tarbiah?

Bersama rakan seperjuangan di Manipal. Semoga kita thabat di jalan ini

Hati aku besar. Ilmu memang cetek, pengalaman memang sedikit. Tak apa, aku redah juga. Selama dua tahun aku meredah membuta tuli menggapai tujuan tanpa panduan. Hentam kromo orang kata. Dua tahun aku menghentam kromo. Hasilnya? Hasilnya adalah program-program Islami yang tidak seiring dengan perkembangan iman dan amal. Terhasilnya pelbagai program yang hanya sekadar memberi peringatan, tetapi tidak dapat mengubah para pendengar dengan peringatan-peringatan tersebut.
Bagaimana untuk aku bekerja tanpa hentam dan kromo? Tiada cara lain. Sebagaimana seorang doktor memerlukan ilmu kedoktoran untuk merawat pesakitnya, aku pun memerlukan ilmu dakwah untuk menjalankan tugas ini. Pengalaman dua tahun bukanlah pengalaman sedikit. Ia pengalaman yang banyak. Sekarang ilmu aku sedikit. Bacaan kena banyak, amal dengan bacaan perlulah segera. Mujahadah aku sekarang bukanlah mujahadah berprogram tetapi mujahadah mencari ilmu dan beramal dengan ilmu tersebut.


Ilmu... tanpanya aku tiada tujuan

Moga perjalananku tidak terhenti sebagaimana terhentinya karangan ini dengan noktah.

No comments: