Wednesday, June 27, 2007

Driver teksi, kayu kokka dan kemunduran... something to ponder about



Pulangnya saya dari KB Mall pada suatu hari membuatkan saya berfikir panjang. Pada hari tersebut saya pulang ke rumah dengan menaiki Teksi. Teksi yang dinaiki macam biasa, buruk dan usang. Side mirror sebelah kanan entah ke mana hilangnya, enjin usang yang menderum itu seolah-olah tidak mampu lagi menolak kereta usang itu. Semua itu sesuai dengan drivernya yang juga tua. Inilah senario teksi di Kelantan. Buruknya teksi itu bukanlah satu isu, tapi yang menarik perhatian saya adalah enam cincin yang dipakai oleh pakcik teksi driver itu. Katanya untuk tujuan kesihatan.

"Ni, pok cik paka kayu kokka ni..."
"ooo.. kayu kokka, buke ko maha kayu ni eh?"
"pok cik beli lamo doh ni, time ore gi mekkoh naik kapa laut lagi pok cik beli"
"Pok cik paka sebab kayu ni banyok khasiat dio..."
"oooooo.. gitu"

Bila disebut perihal kayu kokka itu teringatlah pula satu artikel yang saya baca dalam Harakah. Artikel itu menaikkan isu khurafat dan syirik di kalangan pemakai kayu kokka. Dikatakan pemakainya dapat mengelakkan gangguan syaitan dan iblis. Jelas penulis artikel tersebut membidas pengguna kayu kokka yang terlalu taksub dengan acclaimed power kayu kokka tersebut.

Jadi apa kaitannya dengan Pak cik yang seoarang ni? Jom kita analisa dan muhasabah. Di sini saya dapat lihat satu pemandangan yang cukup memberi erti pada saya. Pak cik tua, teksi buruk dan kepercayaannya pada kuasa kayu kokka. Pak cik seorang ni nampak macam orang susah. Air mukanya menggambarkan keperitan yang dialaminya. Memang simpati. Cuma kita sebagai seorang insan, boleh mengambil pengajaran. Di sini saya hanya membuat satu generalisation yang mungkin tidak kena mengena dengan pak cik ini. Pak cik ini nampak macam susah. Kita boleh tanya diri kita sendiri. Kenapa pak cik ini susah? Bantuan kerajaan kurang ke? kita tak bayar zakat ke? salah pemimpin yang korup ke? saya rasa jawapannya adalah salah pak cik itu sendiri.
Bagi saya, susah tak susah seseorang itu bergantung pada keupayaannya untuk berdikari.
Pengalaman saya untuk menyaksikan sendiri kemiskinan masyarakat Melayu di KL, Kelantan, dan Perak memberi saya satu sumber inspirasi untuk muhasabah. Macam mana mereka tak miskin kalau mereka malas? Pemandangan masyarakat kampung yang malas dapat saya lihat di sebuah perkampungan nelayan di Pengkalan Chepa. Kawasan ini hanyalah 15 minit dari Kota Bharu jaraknya. Apa yang saya lihat, pada hari Ahad, pukul 11 pagi, yakni hari orang Kelantan bekerja, saya dapat lihat orang-orang kampung melepak di depan tannga mereka dan juga di kedai kopi, berborak. Tanah-tanah di sekeliling kampung nampaknya banyak yang terbiar dipenuhi lalang.
Allah berfirman dalam Surah Yasin ayat ke-19... 'Mereka (utusan-utusan itu) berkata "kemalangan kamu itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah kerana kamu diberi peringatan? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas".
Ayat 13 hingga 21 adalah gugusan petunjuk Allah yang menarik. Bukan niat saya untuk memberi tafsiran sendiri tanpa autoriti kerana saya adalah penulis yang tidak bertaulaih dalam ilmu tafsir tapi apa yang saya ingin tekankan di sini adalah relevan ayat ini kepada masyarakat mutakhir. Kaum yang disebut di dalam ayat-ayat ini menerima kehadiran rasul-rasul membawa petunjuk tapi mereka tidak mahu ikut petunjuk itu malah menyalahkan petunjuk yang dibawa rasul-rasul itu di atas kemalangan mereka. Maka ayat 19 itu merupakan jawapan yang diberikan oleh utusan-utusan itu terhadap penduduk negeri itu yang menyalahkan petunjuk-petunjuk Allah yang dibawa oleh utusan-utusan tersebut. Berikut adalah maksud ayat 13 hingga 21:

13 ' Dan buatlah satu perumpamaan bagi mereka, iaitu penduduk suatu negeri ketika utusan-utusan datang kepada mereka;
14 (yaitu) ketika kami mengutus kepada mereka dua utusan, lalu mereka mendustakan keduanya kemudian kami kuatkan dengan utusan yang ketiga (utusan itu) berkata "sungguh kami adalah orang yang diutus kepadamu"
15 'mereka (penduduk negeri) menjawab, "kamu ini hanyalah manusia seperti kami, dan (Allah) yang Maha Pengasih tidak menurunkan sesuatu apa pun; kamu hanyalah pendusta belaka."
16 'Mereka berkata, "Tuhan kami mengetahui bahawa kami adalah utusan-utusan(Nya) kepada kamu.
17 Dan kewajipan kami hanyalah menyampaikan perintah Allah dengan jelas.
18 Mereka menjawab. "Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu. Sungguh jika kamu tidak berhenti (menyeru kami) nescaya kami rejam kamu dan kamu pasti akan merasakan siksaan yang pedih dari kami.
19 'Mereka (utusan-utusan itu) berkata "kemalangan kamu itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah kerana kamu diberi peringatan? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas".
20 Dan datanglah dari ujung kota, seorang laki-laki dengan bergegas dia berkata, "wahai kaumku! Ikutilah utusan-utusan itu.
21 Ikutilah orang yang tidak meminta imbalan kepadamu; dan mereka adalah orang yang mendapat petunjuk.

Ayat ini relevan dengan situasi mutakhir dimana kita lihat masyarakat barat dengan idea sekularisma mereka menyalahkan institusi keagamaan yang membawa wahyu di atas kemunduran mereka. Memang jika dilihat dari sudut sejarah, sekularisme muncul kerana kongkongan kristianiti terhadap kemajuan ilmu pengetahuan. Namun, kesan akibat daripada kesan globalisasi, ummah Islam sendiri terkena tempias sekularisme.
Persepsi masyarakat barat mengatakan agama itu membawa kepada kemunduran. Mutakhir ini persepsi ini bukan lagi milik masyarakat barat tetapi milik masyarakat Islam yang terpengaruh dengan unsur Westernisme yang dikatakan sebagai Modernisme itu. Maka pada hari ini dapat kita lihat bahawa masyarakat Islam di seluruh dunia yang menganggap diri mereka modern (sebenarnya westerned) menyalahkan mesej yang dibawa oleh Islam di atas kemunduran (kemalangan) yang diperoleh.
Pak HAMKA sendiri cuba membawa mesej ini secara halus tetapi lantang melalui novel Tenggelammnya Kapal Van Der Wijck. Watak wanita protagonis di dalam novel itu dihimpit oleh pengaruh westernisme dari rakan baiknya yang mengatakan pemakaian dan cara hidup mereka itu adalah cara hidup modern yang membawa mereka keluar dari kongkongan adat dan seterusnya agama. Bagi mereka adat dan agama itu menarik mereka ke belakang. Namun melalui novel ini Pak HAMKA dengan lantang cuba memberitahu pembaca bahawa apa yang menarik masyarakat Islam ke belakang adalah adat, bukannya agama Islam itu sendiri. Islam, jika disucikan mesejnya, di-Islamkan mesejnya (yakni tidak dicampurkan dengan unsur-unsur jumud adat dan kepercayaan) dan menjadi penjana kemajuan yang hebat sebagaimana yang dialami oleh Ummah terdahulu ketika syiar Islam masih tertegak di bawah daulah khalifah.
Kembali pada Pak Cik driver teksi dan kayu kokkanya. Penggunaan kayu kokka ini dapat dilihat secara umumnya sebagai pencampuran adat dan kepercayaan dengan agama. Kayu kokka didakwa sebagai kayu yang digunakan untuk membina bahtera nabi Nuh dan kayu tongkat nabi Musa. Ia dikatakan mengandungi banyak khasiat dan dapat mengelakkan gangguan jin dan syaitan. Memang benar kita wajib berusaha untuk berubat dan sebagainya tetapi jika menganggap kayu tersebutlah yang mampu menghalau jin dan syaitan, maka pada hemat saya itu sudah melampau. Bimbang takut jadi syirik.
Pak Cik driver ini miskin dan memakai cincin kayu Kokka. Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah kebimbangan saya terhadap fitnah yang mungkin dilemparkan oleh sesetengah orang. Memandangkan Kelantan adalah negeri serambi Mekah, saya bimbang jika pemandangan seperti ini (pak cik driver miskin dan kayu kokka) dijadikan sumber untuk sesetengah orang membuat fitnah bahawa Islam itu membawa kepada kemunduran.
Ayat 19 surah Yaasin jelas memberitahu kita, manusia bahawa kemalangan kita, kemunduran kita adalah kerana kita sendiri, bukan kerana mesej yang dibawa oleh nabi kita Muhammad S.A.W. Kita malang, kita mundur sebab adat, budaya serta kepercayaan masyarakat kita. Islam yang secara literalnya bermaksud tunduk dan patuh bertindak sebagai agen pencuci unsur-unsur adat, budaya serta kepercayaan yang membawa kepada kemunduran.
Oleh yang demikian, saya mengajak rakan-rakan sekalian untuk menilai semula Islam yang kita bawa, yang kita faham. Adakah akidah kita ini betul-betul suci dan murni sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat atau dicemari oleh unsur-unsur kotor dari unsur adat, budaya dan kepercayaan? Adalah sangat perlu untuk kita betul-betul memahami mesej yang dibawa oleh Islam melalui Al-Qur'an dan hadith agar kita betul-betul dapat menggunakan mesej ini untuk membina tamadun manusia yang sangat cemerlang yang memberi kemaslahatan kepada seluruh alam. Wallahuallam.

No comments: